Izan Guevara lengkapkan barisan Prima Pramac Yamaha

Prima Pramac Yamaha MotoGP mengesahkan pelumba Sepanyol, Izan Guevara, akan membuat langkah ke kelas premier pada musim 2027, sekali gus melengkapkan barisan pelumba pasukan itu bersama bintang Turkiye, Toprak Razgatlıoğlu.

Guevara, yang merupakan Juara Dunia Moto3 2022, akan dinaikkan daripada projek Moto2 Yamaha selepas mempamerkan perkembangan positif dalam kelas pertengahan. Beliau turut mencatatkan kemenangan pada perlumbaan penutup musim Moto2 tahun lalu dan kini tampil sebagai antara pelumba kelompok hadapan dalam saingan 2026.

Pelumba berusia 21 tahun itu menjadi rookie ketiga yang disahkan untuk saingan MotoGP 2027 setakat ini. Kepindahannya ke kelas premier hadir pada waktu cukup istimewa apabila MotoGP bakal memasuki era teknikal baharu, dengan penggunaan jentera berkapasiti 850cc serta pengeluar tayar yang berbeza.

Yamaha percaya perubahan besar yang bakal berlaku pada 2027 memberikan peluang sama rata kepada pelumba baharu untuk menyesuaikan diri, sekali gus menjadikan musim tersebut masa yang sesuai untuk Guevara membuat penampilan sulungnya di MotoGP.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan buat saya. Mencapai ke kategori premier, MotoGP sentiasa menjadi matlamat saya dan saya tahu betapa sukarnya untuk sampai ke kelas premier. Ia memerlukan bertahun-tahun kerja keras dan pengorbanan daripada ramai orang di sekeliling saya,” kata Guevara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yamaha, ibu bapanya, pasukan, ahli fisioterapi serta semua pihak yang membantunya berkembang sebagai pelumba dan individu.

Bagaimanapun, Guevara menegaskan fokusnya ketika ini masih terarah kepada Moto2, apabila beliau sedang memburu kejuaraan dunia sebelum menutup lembaran kariernya dalam kelas pertengahan.

“Buat masa ini saya sangat tenang kerana fokus saya masih sepenuhnya kepada Moto2. Kami sedang bersaing untuk kejuaraan dan matlamat saya adalah untuk menamatkan bab ini dalam karier saya dengan cara terbaik.

“Menjelang 2027, saya teruja dengan cabaran tersebut. MotoGP akan memasuki era baharu dan saya fikir ia akan membuka peluang kepada pelumba yang membuat langkah naik. Matlamat pertama saya adalah untuk belajar, menyesuaikan diri secepat mungkin dan bekerjasama rapat dengan pasukan.”

Yamaha Puji Perkembangan Guevara

Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio, menyifatkan kenaikan Guevara ke MotoGP sebagai bukti kejayaan program pembangunan bakat BLU CRU yang diwujudkan Yamaha.

Menurutnya, Yamaha sudah mengenali potensi Guevara sejak sekian lama, terutama selepas kepantasannya membantu pelumba Sepanyol itu meraih kejuaraan dunia Moto3 pada 2022.

Walaupun Guevara melalui dua musim mencabar di Moto2, Pavesio berkata Yamaha terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengannya untuk mencapai matlamat utama, iaitu mendapatkan tempat di kelas premier.

“Selain bakat dan kepantasan yang tidak boleh dipertikaikan, dia telah menunjukkan kematangan yang ketara sebagai pelumba dan seorang profesional. Etika kerja, keazaman, konsistensi serta keupayaannya untuk terus berkembang mengesahkan bahawa dia sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Pavesio turut percaya perubahan peraturan teknikal pada 2027 akan mewujudkan peluang unik buat pelumba rookie seperti Guevara kerana semua pasukan dan pelumba perlu menyesuaikan diri dengan jentera serta peraturan baharu.

Pramac Gabungkan Pengalaman Toprak Dengan Tenaga Baharu Guevara

Dalam pada itu, Ketua Pasukan Pramac Racing, Paolo Campinoti, menyambut baik kehadiran Guevara dan menyifatkan pelumba Sepanyol itu telah membuktikan kelayakannya menerusi prestasi serta perkembangan sepanjang kariernya di Moto2.

Bagi Prima Pramac Yamaha MotoGP, gabungan Guevara dan Toprak dilihat mampu memberikan keseimbangan antara bakat muda dan pengalaman.

Pengarah Pasukan, Gino Borsoi, berkata keputusan mengekalkan Toprak untuk 2027 memberikan pasukan satu asas penting, khususnya apabila pelumba Turkiye itu bakal memasuki musim keduanya di MotoGP.

“Kami sangat gembira untuk mengesahkan Izan Guevara dan Toprak Razgatlıoğlu sebagai barisan pelumba kami untuk 2027. Izan telah memperoleh peluang ini menerusi perkembangan dan komitmen yang ditunjukkannya di Moto2,” katanya.

Menurut Borsoi, pengalaman MotoGP yang dimiliki Toprak akan menjadi kelebihan penting buat pasukan, manakala Guevara pula mewakili masa depan projek Yamaha.

Dengan Guevara sebagai prospek muda dan Toprak sebagai pelumba berpengalaman, Prima Pramac Yamaha kini mempunyai kombinasi yang dilihat mampu menjadi asas penting dalam menghadapi era baharu MotoGP pada 2027.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related