Formula 1 kembali beraksi selepas cuti musim panas, tetapi perlumbaan di Zandvoort untuk Grand Prix Belanda tidak seperti yang dijangkakan bagi Isack Hadjar. Ini kerana pemandu Red Bull Racing itu terpaksa menarik diri daripada GP Belanda selepas mengalami kecederaan retak pada pergelangan tangannya akibat kemalangan ketika sesi latihan bertinju. Namun yang menariknya keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan itu telahpun melibatkan nasihat daripada juara dunia 9-kali MotoGP, Marc Marquez.
Menurut laporan wartawan Julien Febreau daripada Canal+ semasa liputan langsung di Zandvoort, Hadjar telah berhubung dengan Marquez sebelum membuat keputusan muktamad untuk tidak turun bertanding pada hujung minggu ini.
Nasihat Lagenda MotoGP
Marquez bukan calang-calang orang untuk memberi pandangan mengenai isu ini. Sepanjang kerjayanya di MotoGP, juara lapan kali dunia itu telah melalui pelbagai kecederaan yang mengancam kerjayanya, termasuk kecederaan serius pada lengan kanan yang dialaminya di Jerez pada 2020 dan sekali lagi di Indonesia tahun lalu. Pengalaman pahit itu mengajar Marquez erti sebenar sabar dalam proses pemulihan, sesuatu yang jelas cuba disampaikannya kepada Hadjar.
Menurut laporan, Marquez menasihati Hadjar dengan tegas supaya tidak memaksa diri berlumba dalam keadaan fizikal sebegitu pada hujung minggu ini. Bagi seorang yang pernah kembali ke litar terlalu awal dan terpaksa menerima padahnya, nasihat itu datang daripada pengalaman dirinya yang sebenar. Ironinya, litar Zandvoort yang terkenal dengan permukaan bergelora itu turut menjadi faktor risiko tambahan, tekanan berterusan pada pergelangan tangan yang cedera boleh mencetuskan kerosakan lebih teruk jika dipaksa. Lihat sajalah kecederaan yang dialami Daniel Ricciardo pada tahun 2023 di litar yang sama.
Hubungan Fisioterapi
Persoalan yang mungkin timbul di fikiran semua adalah, bagaimana seorang pemandu F1 dan juara MotoGP boleh berhubung rapat bahkan memberi nasihat peribadi sebegitu sekali? Jawapannya terletak pada individu di sebalik tabir iaitu Carlos J. García.
García merupakan ahli fisioterapi dan jurulatih fizikal yang telah lama bekerja bersama Marquez, membantu pemulihan dan prestasi fizikalnya sepanjang detik-detik paling mencabar kerjayanya. Pada masa yang sama, García turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang membimbing Hadjar sejak zaman kategori junior sehingga kini di peringkat Formula 1. Hubungan profesional yang terjalin lama inilah yang menjadi jambatan, membolehkan Hadjar mendapatkan pandangan jujur daripada seorang yang benar-benar memahami had ketahanan tubuh manusia dalam sukan permotoran ini.


