Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish, menghadapi cabaran getir di Litar Magny-Cours,Perancis apabila cuaca hujan menjejaskan peluangnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam perlumbaan utama FIM JuniorGP World Championship Pusingan 3 yang berlangsung hujung minggu lalu.
Segalanya bermula kurang baik bagi Danish apabila beliau terjatuh di awal sesi latihan pada hari Sabtu dan menamatkan sesi di kedudukan ke-14. Namun, semangat juangnya tidak pernah luntur. Beliau bangkit semula di sesi kelayakan yang diadakan pada hari yang sama dalam keadaan cuaca lebih baik dan berjaya mencatat masa ke-5 terpantas meletakkannya di petak kedua barisan hadapan perlumbaan utama.
Hari perlumbaan bagaimanapun menyaksikan perubahan cuaca yang drastik. Hujan yang turun sebelum perlumbaan memaksa pasukan Danish membuat beberapa pelarasan teknikal pada jenteranya, terutamanya pada bahagian tayar belakang.

Sebaik sahaja lampu isyarat merah padam, Danish memecut pantas ke selekoh pertama dan bersaing sengit di kelompok hadapan. Namun, asakan pelumba lain menyebabkan beliau tergelincir ke kedudukan keenam. Ketika memasuki lap kedua, insiden malang menimpa apabila beliau terjatuh dan mengalami sedikit kerosakan pada motosikalnya.
Walaupun begitu, Danish mempamerkan semangat juang luar biasa apabila tetap meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat dan menamatkan saingan di tempat ke-29.

“Saya agak kecewa dengan perlumbaan tadi kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan di posisi yang baik selepas terjatuh di awal perlumbaan. Keadaan litar yang basah akibat hujan membuatkan saya kurang yakin, terutamanya di bahagian tayar belakang kerana setiap lap saya rasa ia agak ‘loose’.
“Namun, saya tetap cuba untuk kekal konsisten dan berada di kelompok hadapan, tetapi malangnya saya terjatuh. Saya akan terus fokus, dan minggu hadapan saya akan berlumba dalam Red Bull Rookies Cup, doakan kejayaan saya,” ujar Danish dalam satu kenyataan selepas perlumbaan.
Pelumba muda kelahiran Terengganu ini bakal meneruskan cabaran dalam jadual perlumbaannya yang padat menerusi saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup yang akan berlangsung di Sachsenring, Jerman pada 12 dan 13 Julai ini. Seterusnya, beliau akan kembali beraksi dalam Pusingan ke-4 FIM JuniorGP World Championship yang dijadualkan berlangsung di Motorland Aragon, Sepanyol pada 26 dan 27 Julai 2025.


