Honda tidak putus asa, HRC Castrol sebagai penanda azam baru

Tirai pelancaran rasmi pasukan-pasukan MotoGP 2025 semakin hampir melabuhkan tirainya, dengan Honda Racing Corporation (HRC) menjadi pasukan terbaru memperkenalkan identiti baharu mereka di Jakarta, Indonesia.

Dalam majlis yang berlangsung dengan penuh gah, HRC mempersembahkan Honda HRC Castrol, pasukan yang bakal membawa cabaran mereka dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2025.

Kerjasama strategik antara Honda dan Castrol, yang diumumkan secara rasmi hari ini, menandakan permulaan era baharu dalam usaha mereka untuk kembali ke barisan hadapan MotoGP. Castrol, selaku penaja utama, bukan sahaja membawa sokongan kewangan tetapi juga kepakaran teknologi dalam penyediaan pelincir, bahan api, serta sokongan teknikal yang akan membantu Honda dalam membangunkan Honda RC213V bagi menghadapi cabaran musim ini.

Dengan objektif yang seiring dengan pasukan Yamaha untuk kembali berada dalam kelompok terbaik MotoGP, Honda menampilkan Joan Mir dan Luca Marini sebagai pelumba utama mereka. Kedua-dua pelumba ini memainkan peranan penting dalam pembangunan jentera Honda dan membawa harapan besar untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

Mir merupakan juara dunia dua kali, memasuki musim ketiganya bersama Honda dalam MotoGP. Pelumba Sepanyol ini bukan sahaja mempunyai semangat juang tinggi tetapi juga kini menjadi pelumba paling berpengalaman menggunakan jentera Honda dalam grid. Dengan kontrak baharu selama dua tahun, Mir dijangka terus berkembang dan menjadi tonggak utama dalam usaha Honda kembali menguasai MotoGP.

Kredit : Honda

Sementara itu Marini, yang kini berada dalam tahun kedua bersama Honda, telah menunjukkan peningkatan ketara sepanjang musim 2024. Pada usia 27 tahun, pelumba Itali ini semakin matang dan berperanan sebagai penyumbang utama dalam memberikan maklum balas teknikal untuk pembangunan jentera Honda. Dengan prestasi yang semakin meningkat, Marini dijangka menjadi aset penting dalam misi Honda memburu kejayaan.

“Saya sangat gembira berada di Jakarta, Indonesia untuk memperkenalkan warna baharu pasukan kami. Peminat di sini sentiasa memberikan sokongan luar biasa kepada Honda dan MotoGP secara keseluruhannya.

“Musim 2024 banyak mengajar kami dan kami berjaya menamatkan musim dengan momentum yang baik. Kini, kami bertekad untuk terus bekerja keras, memperbaiki prestasi dan kembali dengan aksi yang lebih mantap pada musim 2025 ini.

“Saya sedar cabaran ini bukan mudah, tetapi saya berjanji akan membantu pasukan saya dan memberikan yang terbaik sebaik sahaja kembali ke litar. Saya sudah dapat melihat perubahan positif yang berlaku dalam pasukan, dan dengan jentera baharu ini, saya yakin kami mampu kembali mencipta kejayaan,” katanya ketika majlis pelancaran.

Honda turut memberi tumpuan penuh kepada pembangunan Honda RC213V 2025, dengan pelbagai peningkatan teknikal yang dilakukan. Mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang pembangunan enjin terbuka, hari ujian tambahan, serta kelebihan wildcard yang diberikan kepada mereka.

Di samping itu, Honda turut menerima sokongan daripada barisan pelumba ujian berpengalaman, termasuk Stefan Bradl, Aleix Espargaro, dan Takaaki Nakagami. Dengan skop pasukan ujian yang diperluaskan, Honda berharap dapat mempercepatkan proses pembangunan dan membawa penambahbaikan yang signifikan kepada jentera mereka.

Sebagai pengeluar paling berjaya dalam sejarah MotoGP, Honda memiliki rekod 25 kejuaraan dunia kategori Pengeluar, 21 kejuaraan dunia kategori Pelumba, serta 313 kemenangan dalam kelas perdana. Dengan rekod cemerlang ini, Honda bertekad untuk bangkit dan kembali mendominasi saingan MotoGP.

Honda HRC Castrol akan memulakan aksi pertama mereka di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, pada 5 Februari untuk ujian pra-musim MotoGP 2025. Musim rasmi pula akan bermula pada 2 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, di mana Grand Prix Thailand akan menjadi perlumbaan pembukaan musim ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related