Pusingan kedua MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menjadi platform terbaik buat pasukan-pasukan yang bersaing dalam kategori 600cc untuk memperhalusi tetapan jentera menjelang Pusingan Ke-4 FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) di Mandalika, Indonesia yang akan berlangsung kurang sebulan lagi.
Selepas tamat Pusingan Kedua MSBK, pelumba Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio, membuktikan persiapan mereka berada pada landasan tepat apabila memenangi kedua-dua perlumbaan. Bagaimanapun, fokus utama penyertaan pasukan bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya mengumpul data dan mencari tetapan terbaik bagi menghadapi baki saingan ARRC musim 2026.
Penampilan Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi bersama Honda Racing Malaysia di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang turut menarik perhatian apabila mereka menggunakan jentera tanpa penampilan penaja utama, Idemitsu. Penyertaan ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pasukan untuk memperkemaskan prestasi menjelang tiga pusingan terakhir ARRC musim ini.
Sebelum ini, Honda Racing Malaysia berdepan keputusan yang kurang memuaskan pada Pusingan Kedua di Buriram dan Pusingan Ketiga di Motegi selepas memulakan musim dengan prestasi memberangsangkan di Sepang pada April lalu. Justeru, saingan MSBK menjadi medan penting untuk menguji pelbagai aspek persediaan sebelum kembali bersaing di pentas Asia.
Pusingan Kedua MSBK turut memberikan cabaran berbeza apabila perlumbaan kategori MSBK600 berlangsung dalam keadaan litar basah pada hari Sabtu sebelum bertukar kering pada hari Ahad. Perubahan keadaan cuaca itu membolehkan pasukan dan pelumba mengumpul data yang lebih menyeluruh bagi memperhalusi tetapan jentera untuk pelbagai situasi perlumbaan.
Berdasarkan prestasi yang dipamerkan di Sepang, Honda Racing Thailand dilihat berada dalam keadaan lebih bersedia menghadapi ARRC Mandalika. Namun begitu, Honda Racing Malaysia turut memperoleh pelbagai maklumat teknikal yang diharapkan mampu meningkatkan daya saing pasukan pada pusingan seterusnya.
Dalam kedudukan keseluruhan MSBK600 selepas dua pusingan, Thanat Laoongplio mendahului dengan mengumpul 100 mata. Sementara itu, Khairul Idham Pawi yang beraksi dalam kesemua empat perlumbaan setakat ini mengumpul 66 mata dengan baki dua pusingan lagi sebelum musim berakhir.
Keputusan podium MSBK600 Pusingan Kedua 2026:
Race 1
1. Thanat Laoongplio (Honda Racing Thailand)
2. Kitsada Tanachot (Honda Racing Thailand)
3. Helmi Azman (Honda Racing Malaysia)
Race 2
1. Thanat Laoongplio (Honda Racing Thailand)
2. Helmi Azman (Honda Racing Malaysia)
3. Kitsada Tanachot (Honda Racing Thailand)



