Bekas Juara Dunia Grand Prix, Michael Sydney Doohan atau lebih dikenali sebagai Mick Doohan menyarankan pasukan Honda untuk mengubah cara pemikiran mereka sekiranya mahu kembali menjadi pasukan yang terunggul dalam industri permotoran.
Legenda dari Australia ini berkata demikian ketika mengenang semula zaman kegemilangannya ketika dahulu bersama pasukan Honda.
“Saya bersama Honda untuk masa yang agak lama. Semasa saya bertanding, saya kekal dengan Honda.
“Saya hanya menandatangani kontrak setahun kerana mereka lebih komited untuk menang berbanding pengeluar-pengeluar lain, dari segi kakitangan teknikal dan juga sokongan keseluruhan.
Memetik laporan Crash.Net pada 9 November lalu, bekas pelumba yang telah memenangi lima kejuaraan 500 cc itu menyatakan beliau agak sedih melihat jenama jepun yang telah ditunggang ketika berada di kemuncak kariernya dahulu, melalui laluan sukar ketika ini.
“Semangat dan komited mereka merupakan sebab utama untuk saya terus kekal di sana. Jadi, agak mengecewakan melihat mereka dalam kedudukan ini sekarang.
“Saya secara peribadi percaya bahawa pandemik telah menyebabkan pengeluar Jepun itu agak ketinggalan sedikit, manakala pengeluar Eropah terus maju sama ada dari segi elektronik atau bidang lain,” katanya.