Pelumba wildcard negara di GP Malaysia, Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi, mengakhiri hari pertama dengan catatan masa di kedudukan P29 dan P32. Tahun ini merupakan penampilan kedua Helmi Azman sebagai pelumba wildcard bersama pasukan PETRONAS MIE Racing RW. Bagi Helmi, hari pertama dirasakan positif berbanding musim lalu, di mana beliau gagal mengutip sebarang mata dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-23 daripada 31 pelumba.
Kata Helmi,
“Untuk FP1, kita bermula dalam keadaan campur dari litar basah ke kering. Saya memulakan latihan dengan baik walaupun ini kali pertama saya membawa jentera Moto2 di litar basah. Saya berasa lebih yakin jika cuaca hujan pada minggu ini. Di pertengahan sesi, saya menukar tayar kering dan mengambil masa untuk mencari set up yang sesuai. Namun begitu, saya berjaya memecahkan rekod catatan masa tahun lepas dalam FP1. Di atas jentera, saya rasa lebih selesa.
FP2 pula dalam keadaan litar yang kering sepenuhnya dengan cuaca panas. Saya keluar dengan tayar lama dari FP1 untuk mendapatkan set up yang lebih baik bagi meningkatkan cengkaman tayar belakang yang memberikan hasil positif. Setelah kembali ke pit untuk menukar tayar baru, saya berjaya mencatat masa 0.8 saat. Jarak dengan pelumba terpantas juga tidak terlalu jauh berbanding tahun lepas. Walaupun belum puas hati dengan laptime itu, saya bangga dengan pencapaian saya. Jarak saya dengan pendahulu, Manuel Gonzalez, adalah 3.1 saat.”
“Saya juga menggunakan set up jentera yang serupa dengan ketika saya berlumba di Asia Championship. Tahun lalu, saya hanya mengikuti set up dari pasukan. Jadi, agak mencabar dan sukar. Hari ini, dengan set up sendiri, saya rasa peningkatan yang positif. Untuk esok, sudah tentu saya akan melakukan penyesuaian set up kerana tempoh masa minggu ini agak singkat.”
“Kami akan menilai data untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan. Saya sasarkan untuk mencatat masa yang lebih baik dan cuba mendapat rentak perlumbaan yang bagi perlumbaan Ahad nanti. Pasukan juga memiliki data dari pasukan lain untuk membuat perbandingan. Ada beza dengan brek dan kawalan throttle. Saya tidak boleh mencapai kemajuan besar serta-merta, tetapi perlahan-lahan memahami mesin ini.”
Helmi juga mengakui keyakinannya tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu,
“Saya rasa lebih baik daripada tahun lalu. Ini adalah kali kedua saya menunggang Moto2. Memang ada perbezaan ketara antara Supersport dan Moto2.”
Khairul Idham pula kembali membawa jentera Moto2 setelah kali terakhir berlumba dalam kategori Moto2 pada tahun 2019 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT).
“Ketika FP1 tadi, saya agak bergelut. Saya sudah lama tidak membawa jentera Moto2, jadi terasa seperti pelumba baru. Litar juga dalam keadaa litar juga bercampur, sedikit mencabar terutama pagi tadi selepas hujan. Saya bergelut kerana sudah lama tidak menunggang jentera ini dan sangat berbeza dengan jentera Supersport. Dalam FP2, saya menghadapi masalah teknikal dengan brek belakang yang tersekat dan mengalami isu dengan klac. Setelah diperbaiki, saya sambung tetapi masih ada masalah pada brek. Saya harap keadaan akan lebih baik esok.”
“Di selekoh akhir, saya berasa jentera berat dengan tayar belakang terkunci, dan saya terpaksa melepaskan gear. Walaupun bergelut untuk berhenti, saya tidak mahu mengambil risiko. Saya cuba menamatkan juga FP2, dan berharap hari esok akan lebih baik. Saya hanya sempat melakukan dua pusingan sebelum masalah brek, dan kemudian klac pula tidak berfungsi ketika ingin memulakan sesi.”