Hatrik podium buat Sam Lowes

Pelumba Britain, Sam Lowes, mencuri tumpuan di TT Circuit Assen apabila meraih hatrik podium dalam saingan World Superbike Championship hujung minggu lalu, sekali gus mencatat pencapaian terbaiknya musim ini.

Pelumba pasukan ELF Marc VDS Racing Team itu menamatkan ketiga-tiga perlumbaan di tempat ketiga sepanjang Pirelli Dutch Round, menjadikan ianya kali pertama beliau meraih tiga podium dalam satu pusingan sejak menyertai WorldSBK.

Keputusan cemerlang itu hadir selepas Lowes berdepan permulaan musim sukar susulan kemalangan besar di Australia serta masih dalam proses pemulihan kecederaan pergelangan tangan di Portimao.

Lowes memulakan aksi dengan cemerlang apabila meraih tempat kedua dalam sesi Tissot Superpole sebelum bersaing sengit dengan duo Ducati, Nicolo Bulega dan Iker Lecuona dalam Perlumbaan 1.

Kehadiran hujan di pertengahan perlumbaan membantu Lowes merapatkan jurang dengan pelumba hadapan, namun beliau akhirnya menamatkan saingan di tempat ketiga untuk podium pertama musim ini.

Momentum itu diteruskan dalam Superpole Race sebelum aksi kemuncak Perlumbaan 2 menyaksikan Lowes bermula cemerlang dan sempat mendahului perlumbaan pada dua pusingan awal ketika Bulega masih mencari rentak dalam perlumbaan.

Walaupun akhirnya menamatkan perlumbaan kira-kira lima saat di belakang pemenang, Lowes sekali lagi muncul pelumba ketiga terpantas untuk melengkapkan hatrik podium.Menurut Lowes, prestasi tersebut memberi keyakinan tambahan buat dirinya untuk terus mencabar pelumba kilang Ducati.

“Saya gembira dapat bersaing rapat dengan mereka kerana semua tahu mereka adalah penanda aras ketika ini dari segi jentera dan pasukan. Saya cuma mahu habiskan perlumbaan dengan baik dan kemas,” katanya.

Memasuki musim ketiga dalam WorldSBK, peningkatan prestasi Lowes jelas ketara berbanding musim 2024 yang menyaksikannya bergelut tanpa podium. Tahun lalu beliau mula menunjukkan perkembangan positif, dan kini hasil kerja keras itu mula membuahkan hasil apabila konsisten berada dalam kelompok hadapan.

Dengan keyakinan semakin meningkat, Lowes kini meletakkan sasaran untuk terus merapatkan jurang dengan Bulega dan Lecuona dalam perlumbaan seterusnya, sambil berharap dapat menikmati persaingan lebih sengit sepanjang musim ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related