Francesco Bagnaia dan Pasukan Ducati Lenovo berjaya mencatat kemenangan penting dalam perlumbaan Grand Prix Thailand yang berlangsung selama 26 pusingan dalam keadaan cuaca hujan di Litar Antarabangsa Chang pada petang Ahad.
Meskipun Enea Bastianini terpaksa berpuas hati sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, selepas terjatuh pada separuh masa pertama perlumbaan.
Kesilapan tersebut ditebus oleh persembahan Bagnaia yang memulakan perlumbaan dengan aksi cemerlang bermula dari petak pertama sebelum merapatkan jurang dengan Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin yang memimpin perlumbaan, dengan mengambil alih posisi pada pusingan kelima selepas pesaingnya terbabas.
Bastianini yang kehilangan posisinya di awal perlumbaan cuba memintas pelumba lain selepas kehilangan tempat di dalam kedudukan sepuluh terbaik dengan menduduki tempat keenam sebelum terjatuh di selekoh kelapan pada pusingan kesembilan.
Namun, kejatuhan itu tidak menghentikan semangat beliau untuk bangkit menyertai semula perlumbaan dan berada dalam kelompok 15 terbaik dan sekali gus menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Francesco Bagnaia (#1 Pasukan Ducati Lenovo)
“Pagi ini, selepas sesi pemanasan, saya tidak berapa puas hati tetapi saya tidak terlalu risau kerana saya tahu kami berpotensi untuk melakukan yang terbaik, tetapi kami perlu membaiki sesuatu dari segi prestasi motosikal ketika brek.
“Dan kami berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Ketika Jorge cuba menarik jarak pada awal perlumbaan, saya memilih untuk menunggu beberapa pusingan kerana saya merasakan beliau mengambil terlalu banyak risiko. Pertarungan dengan Marc (Márquez) sangat sengit, dan sebelum dia terjatuh, kami berlumba dengan rentak yang amat mencabar. Saya ingin dedikasikan kemenangan ini kepada pasukan, kerana seperti biasa mereka telah melakukan kerja yang bagus.”

Enea Bastianini (#23 Pasukan Ducati Lenovo)
“Kami berada dalam posisi untuk berjaya. Malangnya, saya ditolak ke tepi di selekoh pertama dan kehilangan kedudukan saya di bahagian lurus. Tambahan pula, penglihatan saya amat terhad pada peringkat awal. Kemudian, pusingan demi pusingan, saya mula mendapat rentak yang sesuai dan berjaya memotong beberapa pelumba, tetapi saya mempunyai limitasi yang menyebabkan kejatuhan di selekoh lapan. Sangat tidak bernasib baik, saya tidak menjangkakan itu untuk berlaku. Nasib baik, saya dapat menyertai semula perlumbaan dan meraih beberapa mata.”
Luigi Dall’Igna – Pengurus Besar Ducati Corse
“Ia adalah perlumbaan yang mencabar. Mudah untuk melakukan kesilapan dalam keadaan ini. Anda harus berlumba dengan sepenuh hati dan dalam masa yang sama kena berhati-hati, kerana kesilapan sentiasa boleh berlaku. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pecco dan Jorge atas prestasi luar biasa hari ini. Kini, secara rasmi, persaingan untuk merebut gelaran adalah antara dua pelumba ini, dalam kedudukan yang setara.”
Selepas Grand Prix ke-18 musim ini, Bagnaia masih berada di kedudukan kedua dalam carta kejuaraan, walaupun dengan jurang 17 mata dengan Martín. Bastianini ketika ini berada di tempat keempat, ketinggalan 108 mata, dan tidak lagi berpeluang untuk merebut gelaran.

Selepas kejuaraan Pasukan Ducati dalam kategori Pengeluar, Pasukan Ducati Lenovo kini secara rasmi memenangi Kejuaraan Dunia Pasukan 2024 selepas mengutip 781 mata hasil kutipan Bagnaia dan Bastianini setakat perlumbaan MotoGP Thailand dan dijadualkan akan kembali beraksi pada hari Jumaat di Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia untuk acara kedua terakhir musim ini.