Hakim Danish layak ke Q2 dalam penampilan sulung Moto3

Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, mencipta sejarah tersendiri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila berjaya menempah slot ke sesi Kelayakan Dua (Q2) kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2025, satu pencapaian luar biasa dalam penampilan sulungnya di Kejuaraan Dunia MotoGP.

Pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSI itu mempamerkan prestasi menakjubkan sejak sesi Latihan Bebas Pertama (FP1) lagi, sebelum memperkemas rentak dan menunjukkan tunggangan lebih agresif serta konsisten pada sesi sebelah petang.

Lebih istimewa, Hakim turut menerima sokongan teknikal penuh daripada pasukan gergasi antarabangsa, MT Helmets MSi, yang hadir membantu dalam pelarasan jentera bagi mencari keseimbangan terbaik. Hasil kerjasama itu nyata membuahkan hasil apabila anak muda itu mencatat masa 2 minit 11.820 saat, meletakkannya di kedudukan ke-11 terpantas, sekali gus melayakkannya ke Q2 secara automatik bersama kelompok pelumba elit dunia.

Hakim yang jelas bersemangat selepas kejayaan tersebut berkata, tumpuannya kini beralih kepada menyempurnakan pelarasan jentera dalam FP2 dan mempersiapkan diri sepenuhnya menjelang saingan kelayakan esok. Walaupun menyedari saingan di peringkat dunia jauh lebih sengit, beliau menganggap pengalaman ini sebagai langkah penting dalam perjalanan kariernya.

Saya sangat terharu untuk hari pertama ini. Melihat ramai penonton di grandstand dan sepanjang trek memang beri semangat tambahan, lebih-lebih lagi bila berlumba di tanah air sendiri. Cabaran di Kejuaraan Dunia ini memang berbeza semua pelumba sangat pantas dan konsisten, manakala jentera pula lebih sensitif serta teknikal,” katanya.

Tambahnya lagi, hasil pelarasan yang dilakukan bersama pasukan teknikal membolehkan motosikalnya lebih stabil dan mudah dikawal di selekoh-selekoh mencabar Sepang.

“Saya banyak fokus pada gaya tunggangan, braking point, dan cara buka throttle keluar selekoh. Pasukan teknikal dari JuniorGP yang turut hadir ke Malaysia sangat membantu kerana mereka sudah biasa dengan cara saya. Komunikasi dan pelarasan jentera berjalan dengan lancar. Esok saya akan beri tumpuan kepada pace perlumbaan dan daya ketahanan fizikal untuk sesi simulasi perlumbaan,” jelasnya.

Hakim juga mengakui keadaan cuaca di Sepang yang sukar dijangka menjadi cabaran tambahan buat semua pelumba, namun beliau sudah bersedia menghadapi apa jua situasi.

“Kalau boleh, saya harap cuaca kering, sebab bila ‘dry’ saya boleh ‘push’ lebih jauh. Tapi apa pun keadaan esok, saya dah bersedia. Matlamat saya hanya satu ‘full gas’ dan beri yang terbaik di Q2,” katanya dengan penuh semangat.

Hakim danish bakal kembali ke litar hari ini seawal 8.40 pagi untuk sesi latihan 2 sebelum beraksi di sesi kelayakan Q2 yang dijadualkan pada pukul 1:10 petang waktu Malaysia.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related