Hakim Danish dikenakan penalti grid

Harapan pelumba negara, Hakim Danish Ramli untuk memulakan saingan Moto3 Grand Prix Czech 2026 dari petak hadapan tidak kesampaian selepas pelumba muda negara itu dikenakan penalti turun 12 posisi grid oleh Panel Steward FIM MotoGP berikutan kesalahan yang dilakukan dalam sesi kelayakan.

Pelumba berusia 18 tahun yang sebelum ini mencuri tumpuan apabila mencatat keputusan cemerlang dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) untuk mengesahkan tempat kedua terpantas dan layak bermula di petak kedua bagi perlumbaan di Litar Brno. Namun, pencapaian itu tidak kekal lama apabila beliau didapati melanggar peraturan berkaitan kelajuan minimum di sektor tertentu litar.

Berdasarkan keputusan rasmi steward, Hakim Danish termasuk dalam kumpulan empat pelumba yang merekodkan satu atau lebih sektor melebihi had 135 peratus daripada masa terbaik yang dicatatkan dalam sesi tersebut. Memandangkan ia merupakan kesalahan kedua yang dilakukan, beliau dikenakan hukuman turun 12 posisi grid.

Akibat penalti tersebut, pelumba Malaysia itu dijangka memulakan perlumbaan dari petak ke-14, sekali gus kehilangan kelebihan untuk berada dalam kelompok hadapan sebaik lampu hijau dilepaskan.

Tiga lagi pelumba yang turut menerima hukuman sama ialah Veda Ega Pratama, Rico Salmela dan Pini, manakala beberapa pelumba lain seperti Eddie O’Shea, Alvaro Almansa, Joel Kelso dan Perrone hanya dikenakan amaran kerana ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Penalti itu pastinya mengecewakan buat Hakim Danish yang sebelum ini menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang hujung minggu perlumbaan di Brno. Kepantasan yang dipamerkannya dalam sesi latihan dan kelayakan membuktikan beliau memiliki kemampuan untuk bersaing merebut kedudukan podium.

Walaupun terpaksa bermula dari kelompok pertengahan, peluang untuk mencipta keputusan positif masih terbuka buat pelumba negara itu. Dengan rentak perlumbaan yang kompetitif dan konsisten sepanjang minggu ini, Hakim Danish masih berpeluang melakukan kemaraan ke hadapan sekiranya berjaya memanfaatkan setiap peluang yang hadir ketika perlumbaan berlangsung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related