Hakim Danish buru kesinambungan podium di GP Hungary

Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkannya di Grand Prix (GP) Itali apabila bersedia menghadapi cabaran baharu pada GP Hungary yang akan berlangsung di Litar Balaton Park dari 5 hingga 7 Jun ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hadir ke Hungary dengan keyakinan tinggi selepas melakar sejarah peribadi apabila meraih podium sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 menerusi penamat di tempat ketiga di Mugello, Ahad lalu.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menghadiahkan keputusan terbaik dalam kariernya di pentas dunia, malah menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali melihat Jalur Gemilang berkibar di podium Moto3.

Menurut Hakim Danish, banyak pengajaran berharga diperoleh daripada perlumbaan di Mugello, khususnya dalam aspek pengurusan perlumbaan, strategi dan ketenangan ketika bersaing dengan kelompok pelumba hadapan.

Pengalaman bertarung sehingga ke garisan penamat bersama pelumba terbaik dunia turut memberinya pemahaman lebih mendalam mengenai cara mengendalikan jentera serta membuat keputusan penting ketika perlumbaan memasuki fasa kritikal.

“Sudah tentu selepas berakhirnya perlumbaan di Mugello, Itali saya kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk menghadapi saingan di Hungary minggu ini. Banyak pengajaran yang saya peroleh di Itali, terutamanya dalam aspek menguruskan perlumbaan dengan lebih matang selain kekal tenang di atas litar. Saya mendapat banyak pengalaman berharga apabila bersaing dalam kelompok hadapan.

“Ini merupakan kali kedua saya berada dalam kelompok itu di Mugello. Saya banyak belajar cara untuk mengendalikan jentera pada lima pusingan terakhir serta bersaing dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia yang sangat pantas. Ia benar-benar satu pengalaman yang sangat bermakna bagi saya.
 
Mengenai Litar Balaton Park pula, ia merupakan litar yang baharu buat saya. Justeru, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan litar tersebut secepat mungkin. Matlamat saya adalah untuk tampil kompetitif sejak awal lagi, bermula daripada sesi latihan bebas pertama (FP1) sehinggalah hari perlumbaan pada Ahad nanti.

 
Persiapan saya untuk perlumbaan minggu ini berjalan lancar. Saya sentiasa memastikan rutin latihan diteruskan dengan konsisten. Sebaik tamat perlumbaan lalu, saya terus kembali ke kediaman di Sepanyol untuk mengkaji semula rakaman video perlumbaan serta melakukan analisis demi memperbaiki tunggangan saya.” ujarnya.

Hasil pencapaian membanggakan di Itali, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan kejuaraan dunia Moto3 dengan kutipan 43 mata selepas tujuh pusingan perlumbaan.

Lebih membanggakan, beliau telah merekodkan empat penamat dalam kelompok 10 terbaik musim ini, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam saingan Moto3 2026.

Kini, tumpuan sepenuhnya terarah kepada cabaran di Litar Balaton Park yang bakal menjadi medan baharu buat pelumba kelahiran Terengganu itu kerana belum pernah berlumba di litar berkenaan sebelum ini.

Walaupun perlu menyesuaikan diri dengan karakter litar yang masih asing, Hakim Danish optimis persiapan rapi yang dilakukan mampu membolehkannya tampil kompetitif seawal sesi latihan bebas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related