Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, dijadual berlepas ke Sepanyol sebagai langkah persiapan terbaik menjelang saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 bersama pasukan MT Helmets-MSI.
Hakim Danish akan menetap lebih awal di Eropah bagi menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran serta gaya hidup di sana sebelum menyertai sesi ujian rasmi pra-musim.
Pelumba berusia 18 tahun itu turut dijadual menjalani ujian Moto3 di Portimao, Portugal pada 9 dan 10 Februari sebagai sebahagian daripada persediaan awalnya.
“Untuk sesi ujian, pada 9 dan 10 Februari saya akan menjalani ujian di Portimao untuk menguji jentera Moto3. Persiapan bersama pasukan baharu saya juga berjalan dengan lancar kerana saya sudah berlumba bersama mereka pada dua perlumbaan terakhir musim lalu. Jadi, kami sudah saling mengenali,” kata Hakim Danish.
Menurutnya, persiapan intensif yang dilalui sejak minggu lalu, termasuk menyertai kem latihan bersama pelumba-pelumba Eropah, memberi keyakinan tambahan menjelang musim baharu.
“Kami sudah menjalani kem latihan minggu lepas bersama pelumba Eropah. Saya rasa sudah bersedia dan tak sabar untuk berlumba di Thailand nanti,” katanya lagi.
Mengulas perasaannya menjelang debut penuh dalam Moto3, Hakim Danish mengakui wujud perasaan gementar, namun memilih untuk melihat cabaran tersebut dari sudut positif.
“Perasaan itu bercampur-baur, ada gementar tetapi saya cuba melihatnya secara positif dan menikmati pengalaman berlumba di peringkat ini,” ujarnya.
Dalam saingan Moto3 musim ini, Hakim Danish menggalas tanggungjawab besar apabila menggantikan pelumba Sepanyol, Angel Piqueras, yang menamatkan kempen musim lalu di tempat kedua keseluruhan.
Untuk rekod, sesi ujian pra-musim Moto3 2026 dijadual berlangsung di Portimao, Portugal pada 22 dan 23 Februari, sebelum kalendar perlumbaan membuka tirai di Buriram, Thailand dari 27 Februari hingga 1 Mac.

Terdahulu, berlangsung pelancaran ZK Racing x Onedry di MAEPS, Serdang, yang turut menyaksikan pengenalan rangkaian inovasi teknikal terbaharu Onedry, direka khusus untuk individu yang mementingkan perlindungan, ketahanan serta gaya tanpa kompromi.
Antara produk yang dilancarkan ialah Onedry Raincoat Ultra, Onedry Boost 1.0 Backpack (30L), Onedry Boost 1.0 Waist Bag yang hadir dengan pilihan warna premium Hitam (Black) dan Kelabu (Stone Grey), serta Waist Bag Lite yang menampilkan rekaan ringkas dan ringan untuk kegunaan harian.


