Gasly Gegarkan Monza, Pole Pertama Dalam Kariernya

Pierre Gasly memecahkan rekod peribadinya dalam sesi kelayakan di Monza semalam selepas berjaya meraih pole position sulung sepanjang kerjayanya dalam Formula 1.

Selepas catatan 189 penyertaan Grand Prix tanpa sebarang pole position pada hari Sabtu, pemandu Alpine tersebut secara rasmi memadamkan rekod penantian terpanjang dalam sejarah F1 untuk mendapatkan pole pertama.

Enam tahun selepas mencatatkan kemenangan sulung F1 bersama AlphaTauri di litar yang sama, Gasly menghasilkan ‘one lap pace’ yang luar biasa dengan catatan masa 1:21.786 pada sesi Q3. Hasil bantuan slipstream yang sempurna, beliau menewaskan pemandu Mercedes, George Russell, dengan jurang tipis hanya 0.060 saat untuk mengejutkan seluruh paddock

Kejayaan ini menjadi penawar duka buat Gasly dan pasukan Alpine selepas kedudukan tempat ketiganya di GP Monaco ditarik balik susulan keputusan FIA mengekalkan penalti terhadapnya. Pole position ini juga merupakan pencapaian petak pertama julung kali buat Alpine dalam era moden, sekali gus membuktikan keupayaan jentera dalam memaksimumkan potensi kereta.

Pasukan tuan rumah, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton masing-masing bakal memulakan grid di barisan kedua, setelah pemandu McLaren, Oscar Piastri, yang meraih petak ketiga dikenakan penalti penurunan 3-grid kerana menghalang pemandu Red Bull, Liam Lawson, semasa sesi Q2.

Sementara itu, Max Verstappen hanya sekadar berpuas hati di kedudukan kelima selepas pelarasan grid akibat penalti yang dikenakan ke atas Piastri. Franco Colapinto yang memandu jentera Alpine juga menunjukkan prestasi yang baik apabila meraih petak ketujuh, di hadapan pemandu McLaren, Lando Norris, yang hanya mampu meraih petak kelapan setelah memenangi dua GP berturut-turut sebelum ini.

Arvid Lindblad dan Gabriel Bortoleto masing-masing menunjukkan prestasi cemerlang dan melengkapkan kedudukan grid di petak kesembilan dan kesepuluh. Pemandu tumpuan tempatan, Kimi Antonelli, yang dikenakan penalti kerana menukar tiga komponen unit kuasa, bakal memulakan perlumbaan di petak kedua puluh bagi perlumbaan hari Ahad.

Walaupun tugas mempertahankan kedudukan daripada asakan Mercedes, Ferrari, dan McLaren pada hari perlumbaan bakal menjadi ujian getir buat Alpine dan Gasly, kejayaan pole Gasly ini kekal sebagai antara kejutan paling manis dalam sesi kelayakan musim 2026.

Perlumbaan dijadualkan bermula jam 9.00 malam (Waktu Malaysia).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related