Josep Garcia mempamerkan aksi sempurna di laman sendiri apabila meraih kemenangan berganda keseluruhan dalam Pusingan 2 FIM EnduroGP World Championship di Oliana, Sepanyol pada Ahad.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu mengungguli kedua-dua hari perlumbaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas kejuaraan keseluruhan dan kategori Enduro1. Sokongan padu penyokong tempatan jelas memberi kelebihan buat Garcia yang tampil konsisten walaupun berdepan keadaan litar mencabar.
Segalanya bermula dengan prestasi cemerlang pada Super Test hari Jumaat, di mana Garcia mencatat masa terpantas dengan kelebihan hampir satu saat. Momentum itu diteruskan ke hari Sabtu, walaupun keadaan litar berlumpur akibat hujan menyukarkan permulaan perlumbaan.
Selepas sedikit bergelut pada pusingan awal, Garcia bangkit dengan catatan masa konsisten sebelum merampas kedudukan pendahulu dan menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 45 saat. Beliau turut mendominasi kategori Enduro1.
Pada hari Ahad, Garcia sekali lagi sukar digugat apabila menguasai perlumbaan dari awal hingga akhir, menang dengan kelebihan hampir 40 saat, melengkapkan hujung minggu sempurna dengan empat kemenangan daripada empat perlumbaan setakat musim ini.
“Ini hujung minggu yang sempurna buat saya terpantas pada Jumaat, menang Sabtu dan Ahad. Menang di laman sendiri adalah sesuatu yang sangat istimewa,” kata Garcia.
Rakan sepasukan, Andrea Verona, turut menyerlah dengan dua podium keseluruhan, termasuk tempat kedua pada hari Ahad untuk memastikan kedudukan 1 dan 2 berpihak kepada pasukan KTM.
Verona juga berjaya meraih kemenangan dalam kategori Enduro2 pada hari kedua, sekali gus menjadikannya tiga kemenangan daripada empat perlumbaan dalam kelas tersebut musim ini.
“Secara keseluruhan, ini hujung minggu yang sangat positif. Tempat kedua keseluruhan dan kemenangan Enduro2 sangat penting untuk kejuaraan,” jelas Verona.
Keputusan Utama
EnduroGP – Hari 1
- Josep Garcia
- Hamish Macdonald
- Andrea Verona
EnduroGP – Hari 2
- Josep Garcia
- Andrea Verona
- Zach Pichon
Kedudukan Kejuaraan (Selepas Pusingan 2)
EnduroGP
- Josep Garcia – 75 mata
- Andrea Verona – 64 mata
- Zach Pichon – 45 mata
Enduro1
- Josep Garcia – 80 mata
Enduro2
- Andrea Verona – 77 mata
Dominasi Garcia dan Verona mengukuhkan kedudukan KTM sebagai pasukan paling kuat setakat ini, dengan kedudukan 1 dan 2 dalam carta keseluruhan EnduroGP, pasukan KTM dijangka bakal meluaskan jurang kedudukan dalam aksi seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Finland pada 22–24 Mei ini.


