Formula 1 kembali ke Sepang selepas 9 tahun

SEPANG, 26 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik serta mengalu-alukan pengumuman rasmi Formula 1 berhubung penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

KBS turut menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, atas hubungan akrab dan kepercayaan yang terjalin antara kedua-dua negara sehingga memungkinkan perlumbaan berprestij dunia itu diadakan di Malaysia.

Pada masa yang sama, KBS menghargai hubungan erat serta kerjasama strategik antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Sepang.

Menurut KBS, beberapa siri perbincangan menyeluruh telah diadakan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan Formula 1 selepas kerajaan menerima makluman awal mengenai kemungkinan perlumbaan tersebut dipindahkan ke Malaysia.

Persetujuan yang dicapai mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia. Selain itu, penganjuran perlumbaan berprestij tersebut dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi negara melalui peningkatan sektor pelancongan, pelaburan serta aktiviti ekonomi berkaitan sukan.

Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang sebelum ini mempunyai rekod cemerlang sebagai tuan rumah Formula 1 selama 19 musim berturut-turut, bermula dari tahun 1999 hingga 2017. Kepulangan Formula 1 ke Sepang selepas hampir sedekad pastinya mengubat kerinduan peminat sukan permotoran tempatan untuk sekali lagi menyaksikan aksi perlumbaan paling berprestij dunia di bumi Malaysia.

KBS turut menegaskan komitmennya, menerusi SIC, untuk memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dianjurkan mengikut piawaian tertinggi Formula 1, sekali gus menawarkan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba serta peminat yang dijangka hadir dari seluruh dunia.

Selain memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa, penganjuran perlumbaan ini juga dijangka merancakkan lagi pembangunan ekosistem sukan permotoran negara dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi menerusi sektor pelancongan sukan.

Dalam masa yang sama, KBS akan terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara dengan memberi penekanan terhadap usaha melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang berpotensi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related