Fabio Quartararo, yang memiliki 12 kemenangan Grand Prix, menyifatkan tempat ke-11 yang diraihnya di MotoGP Solidarity Barcelona sebagai “salah satu perlumbaan terbaiknya”, meskipun atas kertas menunjukkan yang sebaliknya.
Pelumba Yamaha itu jelas memiliki pendapat yang berbeza mengenai perlumbaan terakhirnya pada Ahad lalu dengan menyatakan beliau berpuas hati dengan keputusan perlumbaan tersebut.
“Kami mencuba tayar keras, sesuatu yang tidak pernah kami cuba sepanjang hujung minggu ini, tetapi menurut saya, saya tiada kerugian melakukan perkara tersebut kerana saya memperoleh maklumat berguna sepanjang perlumbaan. Saya rasa itu pilihan yang tepat, walaupun kami kekurangan cengkaman.
“Kami tahu apa yang perlu diperbaiki, tetapi saya rasa ini salah satu perlumbaan terbaik saya. Kami hanya 10 saat dari pendahulu, walaupun kedudukan saya tidak begitu baik. Namun, saya rasa kami boleh berpuas hati dengan perlumbaan itu,” jelasnya.
Pelumba Perancis itu berjaya menamatkan musim di tempat ke-13 dalam kedudukan keseluruhan dengan 113 mata, manakala Alex Rins berada di kedudukan ke-18 dengan 31 mata. Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP kekal di tempat ke-8 dalam Kejuaraan Pasukan dengan 144 mata, manakala Yamaha berada di tempat ke-4 dalam Kejuaraan Pengeluar dengan 124 mata.
Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP akan kembali ke Litar de Barcelona-Catalunya dengan wajah yang sama, hari ini sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) untuk ujian IRTA sebagai permulaan persiapan mereka bagi kempen MotoGP 2025.