Mungkin apabila anda menonton perlumbaan F1, anda sudah familiar dengan istilah seperti energy management, battery deployment, atau energy harvesting.
Adakah anda faham maksud setiap istilah tersebut?
Dalam era baharu F1, enjin kereta terbahagi kepada dua komponen utama, iaitu ICE (Internal Combustion Engine) yang menjana kuasa petrol dan Sistem Hibrid Elektrik yang membantu menyimpan tenaga elektrik yang dijana oleh MGU-K, sebuah motor yang menukar tenaga kinetik semasa membrek kepada tenaga elektrik.
Dahulunya, F1 hanya bergantung kepada kuasa petrol semata-mata. Sekarang, tenaga elektrik memainkan peranan yang jauh lebih besar, menjadikan cara pelumba mengurus tenaga semasa berlumba mampu menentukan keputusan perlumbaan.
Cara Tenaga Elektrik Dihasilkan
Sistem Hibrid Elektrik yang disokong oleh MGU-K dapat menghasilkan tenaga ketika brek ditekan, di mana tenaga ini kemudiannya dikumpul dan disimpan dalam bateri. Proses mengumpul tenaga dalam bateri untuk digunakan semula ini dinamakan sebagai energy harvesting.
Kemudian, pelumba dapat menggunakan tenaga yang terkumpul dalam bateri untuk memberikan kuasa tambahan ketika diperlukan. Keseluruhan proses pelepasan tenaga elektrik yang tersimpan dalam bateri ini pula dinamakan battery deployment.
Secara mudahnya:

Energy Harvesting: Brek → Tenaga elektrik dicas → Tenaga disimpan dalam bateri
Energy Deployment: Tenaga disimpan dalam bateri → Tenaga elektrik digunakan → Tambahan kelajuan
Namun, jumlah tenaga yang boleh digunakan adalah terhad. Di sinilah konsep energy management menjadi penting.
Apa Makna Istilah Energy Management
Energy management bermaksud pengurusan bekalan tenaga untuk digunakan pada masa yang sesuai.
Semasa berlumba, pelumba dan pasukan perlu merancang penggunaan tenaga elektrik kerana bekalan adalah terhad; bermakna penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan mengakibatkan pelumba kehilangan peluang untuk memotong atau mempertahankan kedudukan.
Sebab itu kita kadang-kadang melihat pelumba tidak menggunakan kuasa elektrik maksimum pada setiap pusingan. Mereka sedang menguruskan bekalan tenaga untuk masa yang lebih sesuai.
F1 Kini Menjadi Perlumbaan Teknologi
Di mata penonton, dua kereta mungkin kelihatan seperti sekadar berlumba menuju garisan penamat. Namun, di sebalik perlumbaan itu terdapat satu lagi pertempuran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, iaitu pertempuran mengurus tenaga.
Dengan sistem hibrid yang semakin penting, pelumba bukan sahaja perlu tahu bila hendak menekan minyak. Mereka juga perlu tahu bila perlu menyimpan tenaga, bila perlu menggunakannya, dan bila masa terbaik untuk menyerang.
Dalam dunia F1 moden, kadangkala kemenangan bukan milik pelumba yang mempunyai tenaga paling banyak, tetapi pelumba yang paling bijak menggunakannya.


