Ducati telah mengesahkan penajaan baharu bagi musim MotoGP 2025 dan 2026 dengan hubungan strategik yang telah dijalin bersama syarikat pembekal bahan binaan, Eternoo.
Jenama yang berpangkalan di Modena, tidak jauh dari ibu pejabat Ducati di Borgo Panigale, Itali dipercayai akan bekerjasama sepanjang dua musim yang akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Eternoo, Federico Nessi, turut menyatakan keterujaannya terhadap kerjasama ini menerusi satu kenyataan rasmi.
“Kami dari pihak Eternoo berasa amat bangga dapat memberikan sokongan dan bantuan kami kepada pasukan Ducati Lenovo dalam menghadapi cabaran besar yang bakal menanti Francesco Bagnaia dan Marc Marquez sepanjang musim 2025 dan 2026.
Melihat logo kami berdampingan dengan jenama berprestij seperti Ducati adalah satu kebanggaan bagi semua yang bekerja bersama kami, termasuk pelanggan dan pembekal kami.
Kami teruja untuk memperkenalkan logo kami yang diperluaskan, serta monogram yang menggabungkan huruf ‘E’ dari Eternoo (dan Edilizia) dengan simbol infiniti, yang melambangkan konsep keabadian dalam bidang pembinaan.
Saya percaya bahawa para pekerja kami akan berasa seperti ‘pelumba Ducati’ ketika menjalankan tugas setiap hari. Kami juga telah bersedia untuk berdepan dengan cabaran pelanggan dan mencapai kejayaan dalam industri yang dinamik ini,” katanya.
Pengarah Sukan Ducati Corse, Mauro Grassilli, turut mengalu-alukan kerjasama ini dengan menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Federico kerana mempercayai projek kami.Kami benar-benar gembira untuk menyambut Eternoo dan membawanya ke dalam dunia Ducati dan kami juga berbangga kerana mempunyai syarikat berkualiti yang mempunyai asal usul yang sama sebagai rakan kongsi,” ujarnya.
Eternoo merupakan syarikat inovatif yang berpangkalan di Modena, Itali, terkenal dengan penyelesaian digital canggih dalam industri pembinaan. Terletak di tengah-tengah Motor Valley, syarikat ini memegang status sebagai peneraju dalam industri di Itali dengan 650 kolaborasi global serta rangkaian 70 buah kedai di seluruh dunia.
Dengan kehadiran Eternoo sebagai salah satu penaja utama, kerjasama ini dijangka membuka peluang besar dalam pencarian bakat baharu serta membantu memperkukuhkan komunikasi strategik antara Ducati dan rakan niaganya.

Dalam perkembangan lain, Ducati turut dilaporkan telah memperbaharui kontraknya bersama Riello UPS, jenama terkemuka dalam bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) yang direka dan dihasilkan oleh RPS S.p.A. sebuah syarikat berpangkalan di Itali dan sebahagian daripada Kumpulan Riello Elettronica.
Dengan dua penaja utama yang telah disahkan, Ducati kini dijangka sudah dalam persiapan penuh untuk beraksi dalam saingan MotoGP 2025. Pasukan ini bakal membuat penampilan sulung mereka di perlumbaan pembukaan musim yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand tidak lama lagi.


