Rata-rata pelumba MotoGP berkongsi aktiviti harian yang dilakukan mereka ketika cuti musim panas ini. Ada diantara mereka yang memilih untuk berehat di tepi pantai atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan ketika cuti musim panas.
Namun, berbeza untuk Johann Zarco memilih haluan yang bertentangan apabila menukar suasana santai ketika musim panas kepada cabaran ekstrem di Jepun dengan satu satu misi istimewa.
Pelumba LCR Honda itu baru sahaja mencipta sejarah bersama Takumi Takahashi, apabila mereka menjuarai perlumbaan endurance Coca-Cola Suzuka 8 Hours edisi ke-46 bersama pasukan Honda HRC. Kemenangan ini bukan sahaja istimewa buat Zarco, tetapi turut melakar rekod baharu buat Honda.
Dengan kemenangan ini, Honda mencatat kemenangan ke-31 di Suzuka 8 Hours yang turut menjadikannya pengeluar paling berjaya dalam sejarah perlumbaan itu. Bagi Takumi Takahashi, ini merupakan kemenangan ketujuh, sekali gus meletakkannya sebagai pelumba paling banyak menjuarai perlumbaan tersebut dalam sejarah perlumbaan berprestij ini.
Bagi Zarco pula, ini merupakan kemenangan keduanya selepas kali pertama muncul juara pada tahun 2019 bersama pasukan Yamaha Factory Racing. Kejayaan kali ini membuktikan versatiliti dan daya tahan pelumba MotoGP dalam acara endurance yang sangat mencabar mental dan fizikal.
Menariknya lagi, pasukan Honda HRC hanya menurunkan dua pelumba sahaja berbanding tiga pelumba yang merupakan kebiasaan dilakukan mereka sebagai satu langkah taktikal yang jarang diambil tetapi berisiko tinggi. Tahun lalu, mereka menurunkan tiga pelumba termasuk Teppei Nagoe, namun kali ini hanya Takahashi dan Zarco diberi tanggungjawab penuh untuk mengharungi lapan jam perlumbaan tanpa rehat panjang.
Di bawah peraturan FIM Endurance World Championship (EWC), pasukan dibenarkan menggunakan dua pelumba sahaja jika mereka cukup cergas dan konsisten. Dalam kes ini, pengurusan Honda menilai bahawa Takahashi dan Zarco memiliki pengalaman, ketahanan fizikal dan kepantasan yang cukup untuk menyelesaikan misi ini dengan jayanya.
Salah satu sebab utama mereka tidak menurunkan pelumba ketiga adalah untuk mengurangkan risiko kesilapan semasa pertukaran pelumba, selain memudahkan pengurusan strategi pit stop.
“Pasukan sudah merancang semuanya dengan rapi. Kami tahu giliran siapa, berapa lama perlu menunggang, dan bila perlu masuk pit. Tapi secara peribadi, saya rasa untuk tahun depan lebih baik kalau ada pelumba ketiga kerana ia akan memberi lebih banyak masa untuk perbaiki catatan masa,” ujar Zarco kepada media selepas perlumbaan.
Perlumbaan menyaksikan persaingan sengit sejak awal lagi. Honda HRC memulakan aksi dari petak pertama dan berjaya menewaskan Yamaha Factory Racing Team, yang turut menurunkan barisan pelumba hebat termasuk Pol Espargaro dan Katsuyuki Nakasuga.
Manakala perebutan tempat ketiga pula berlangsung sengit dengan Yoshimura SERT Motul berjaya menewaskan SDG Team HARC-PRO. Honda dalam aksi dramatik sepanjang perlumbaan.
Zarco dan Takahashi bergilir-gilir menunggang dengan konsisten dan laju, memastikan tiada ruang untuk kesilapan. Taktik mereka membuahkan hasil apabila bendera penamat dikibarkan dengan mereka berada di hadapan.
Zarco, yang kini mewakili LCR Honda dalam saingan MotoGP, berjaya meraih kemenangan keduanya di Suzuka. Pasukan mereka bermula dari petak pertama dan menewaskan pasukan Yamaha Factory Racing yang turut menyinar sepanjang perlumbaan.
Tempat ketiga pula menjadi milik Yoshimura SERT Motul selepas pertarungan sengit menentang SDG Team HARC-PRO. Honda. Kesemua aksi berlangsung di Litar Suzuka, Jepun, dengan kehadiran ribuan peminat yang menyaksikan antara perlumbaan endurance paling berprestij di dunia.
Dengan kejayaan ini, Johann Zarco bukan sahaja membuktikan komitmen tinggi terhadap kecergasan fizikal dan prestasi konsisten, tetapi turut memperlihatkan semangat juang seorang pelumba profesional sanggup mengetepikan waktu rehat demi kejayaan bersama pasukan.
Baca juga:


