Ducati kembali lebih garang

Dolomites, Itali sekali lagi dipilih sebagai lokasi utama bagi pelancaran rasmi pasukan Ducati Lenovo, menandakan tahun ketiga berturut-turut menjadi pentas bagi memperkenalkan barisan jentera dan pelumba mereka bagi musim MotoGP 2025.

Acara penting yang mengambil tempat di Palacampiglio hari ini, turut menyaksikan jentera Desmosedici GP25 yang bakal memulakan pertarungannya tidak lama lagi dengan gandingan baharu Ducati yang telah mencuri tumpuan semenjak musim lalu.

Tidak ketinggalan, Pegawai Eksekutif (CEO) Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali, menyatakan keyakinan penuh terhadap gandingan emas pasukan itu, yang disifatkannya sebagai “gabungan terbaik musim 2025”.

“Pembentangan ini amat penting buat syarikat kami. Matlamat kami adalah untuk terus meningkatkan keupayaan. Dengan gandingan dua pelumba luar biasa seperti Pecco, yang sangat memahami jentera Ducati, dan Marc, seorang pelumba berbakat dengan pengalaman yang luas, bukan sahaja mereka dapat memberikan nilai tambahan kepada kami, malah kami yakin kombinasi ini mampu mencipta sejarah baharu,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran tersebut.

Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna, turut menyuarakan keyakinannya terhadap musim ini. Beliau menyatakan bahawa pelumba dan pasukan Ducati sedang giat membuat persiapan rapi untuk menghadapi cabaran mendatang.

“Kami amat berbangga dengan pasukan kerja kami. Saingan semakin sengit saban tahun, tetapi kami bersedia dengan pakej teknikal yang mantap serta gandingan pelumba terbaik untuk memastikan Ducati kekal kompetitif,” jelas Dall’Igna penuh optimis.

Selepas mencatatkan prestasi cemerlang pada musim lalu, dengan merangkul gelaran Juara Dunia Pengeluar, Juara Dunia Pasukan, serta 13 kemenangan perlumbaan, Pasukan Ducati Lenovo kembali dengan misi untuk memperkukuhkan dominasi mereka di arena MotoGP.

Jentera Desmosedici GP25 kini tampil dengan ciri teknikal yang lebih inovatif dan reka bentuk segar, mengekalkan warna merah Ducati yang ikonik serta perincian neon yang menyerlahkan logo Ducati sebagai identiti eksklusif.

Musim 2025 menampilkan kombinasi pelumba luar biasa seperti Francesco ‘Pecco’ Bagnaia (#63), juara bertahan Ducati, dan Marc Marquez (#93), legenda MotoGP yang kini memulakan era baharunya bersama pasukan merah Ducati. Bersama-sama, kedua-dua pelumba ini membawa pengalaman 11 gelaran dunia dari pelbagai kategori, menjadikan mereka aset penting dalam mencapai kejayaan projek Borgo Panigale.

Persediaan untuk musim baharu telah pun bermula, dengan Pasukan Ducati Lenovo dijadualkan memulakan ujian rasmi pertama mereka di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 hingga 7 Februari, manakala sesi ujian shakedown akan berlangsung lebih awal, dari 31 Januari hingga 2 Februari.

Majlis pelancaran ini turut dimeriahkan dengan pelbagai acara khas seperti lawatan ke Muzium Sejarah Gresini serta sesi bertemu peminat di Dataran Sissi, Madonna di Campiglio. Dengan gabungan teknologi canggih, strategi kukuh, dan pelumba berbakat besar, musim 2025 dijangka menjadi satu lagi episod gemilang dalam sejarah Ducati.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related