Pasukan Ducati Lenovo sekali lagi mencatat keputusan memberangsangkan pada hari pertama ujian pramusim MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand. Kedua-dua pelumba utama mereka, Marc Marquez dan Francesco Bagnaia, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terpantas dalam sesi ujian hari ini.
Dalam keadaan cuaca yang mencecah 33 darjah Celsius, Marc Marquez enggan memberi peluang kepada adiknya, Alex Marquez, yang sebelum ini mengungguli ujian sesi pagi dengan catatan 1:29.6490 saat. Marc Marquez pada sesi petang catat masa terpantas dengan catatan 1:29.1840 saat, sekaligus mendominasi sesi ujian pada hari ini dengan catatan masa tersebut.
Sementara itu, Bagnaia berjaya melengkapkan 32 daripada 43 pusingan dengan catatan terbaik 1:30.3510 saat, 0.702 saat di belakang Alex Marquez, yang mendahului sesi pagi.
Dalam perkembangan lain, sejurus selepas sesi ujian hari pertama berakhir, Pengurus Pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi, mengesahkan bahawa Ducati kini lebih cenderung menggunakan enjin GP24 untuk musim ini selepas Bagnaia dilihat memperagakan fairing baharu pada sesi petang. Keputusan itu diambil selepas dua minggu ujian intensif bagi mengenal pasti enjin terbaik yang akan digunakan mereka tahun ini.
Sebelum ini, Ducati mengambil pendekatan konservatif dengan menguji komponen daripada model 2024 dan 2025 untuk mendapatkan hala tuju yang lebih jelas.
“Buat masa ini, kami merancang untuk mengambil pendekatan yang lebih konservatif kerana kami tahu asas yang ada sudah cukup baik. Sasaran utama di Buriram adalah untuk terus menguji beberapa komponen lain dan mengumpulkan lebih banyak maklumat bagi memastikan persiapan terbaik menjelang perlumbaan pertama.
“Perkara paling positif ialah kedua-dua pelumba kami memberikan maklum balas yang hampir sama, menjadikan tugas jurutera lebih mudah. Mereka juga bekerjasama dengan baik dan tahu dengan jelas arah yang ingin mereka ambil dalam pramusim ini,” katanya ketika sesi ujian musim sejuk di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), Malaysia minggu lalu.
Dengan keputusan yang memberangsangkan pada hari pertama serta pengumuman penting dari Ducati, pasukan dijangka akan meneruskan baki ujian di Buriram untuk mengorak langkah seterusnya. Ini sebagai persiapan akhir menjelang perlumbaan pembukaan MotoGP 2025, yang hanya tinggal dua minggu lagi.
Maklumat terperinci mengenai jentera rasmi ducati musim 2025 masih belum diketahui dan dijangka akan disahkan secara rasmi selepas tamat sesi ujian di Buriram, Thailand. Berita lanjut menyusul…
Berikut merupakan keputusan sesi ujian hari pertama :



