Pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi, mengatakan beliau tidak mempunyai “masalah” sekiranya Jorge Martin menjadi juara dunia MotoGP 2024 dan akan membawa plat nombor satu ke pasukan Aprilia pada tahun depan.
Beliau berkata demikian apabila mengulas mengenai pelumba kelahiran Sepanyol itu yang telah disahkan bakal menyertai pasukan Aprilia pada musim 2025 dan mempunyai kemungkinan besar bakal merampas kedudukan nombor plat satu itu.
“Sudah jelas bahawa jika Jorge memenangi gelaran, dia mungkin akan menggunakan nombor satu, kerana ianya bukan sesuatu yang boleh didapatkan dengan mudah.
“Jadi, dia pasti mahu menggunakan atas jenteranya. Tetapi dalam buku besar, keputusan akan tertulis Jorge Martin dan pasukan Ducati dalam satu barisan.
“Jadi, meskipun nombor satu itu adalah untuk pelumba, namun mesin tersebut tetap asalnya dari Ducati,” katanya kepada TNT Sport sebelum aksi GP Malaysia baru-baru ini.
Aprilia yang dilaporkan berjaya mendapatkan Martin untuk menyertai pasukannya pada tahun depan, menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Ducati yang dikatakan bakal berhadapan dengan masalah besar dan dikhabarkan bakal mengendurkan sokongan mereka untuk pelumba berusia 26 tahun itu.
Namun, Tardozzi menunjukkan yang sebaliknya apabila menyatakan beliau menerima hakikat itu kerana di buku sejarah tetap terpapar mesin pengeluar mana yang dimenangi oleh Martin.
Sebelum ini, pasukan Ducati dilaporkan membuat rancangan untuk mendatangani Pelumba Prima Pramac itu bagi membarisi pasukan utama mereka sebelum membuat pusingan-U dengan memilih Marc Marquez sebagai gantinya.