Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Dari dominasi Verstappen ke perpindahan Hamilton, F1 2024 penuh dengan kejutan

Musim Formula 1 2024 telah berlangsung dengan penuh aksi dan persaingan sengit, menampilkan 24 aksi perlumbaan yang begitu mencabar dengan jadual kalendar yang terpanjang dalam sejarah perlumbaan.

Bermula di Bahrain pada 2 Mac 2024 dan berakhir di Abu Dhabi pada 8 Disember, musim ini mencatatkan pelbagai detik bersejarah dan pencapaian luar biasa oleh pemandu serta pasukan. Paling tidak dapat disangkal lagi, kehebatan Max Verstappen yang jelas dalam kelas tersendiri apabila beliau mendominasi perlumbaan musim ini dengan meraih gelaran juara dunia keempat berturut-turut dalam kariernya.

Dengan 8 kemenangan daripada 21 perlumbaan setakat ini, Max Verstappen terus mengukuhkan dominasinya di pentas F1, meskipun berdepan cabaran lebih sengit berbanding musim sebelumnya. Musim ini juga menyaksikan kebangkitan luar biasa juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang kembali mencuri tumpuan di litar.

Lewis Hamilton, dalam musim terakhirnya bersama Mercedes sebelum berpindah ke Ferrari pada tahun 2025, beliau berjaya memecahkan kemarau kemenangan dengan kejayaan di Grand Prix Silverstone. Kemenangan ini menjadikan beliau pemenang tertua dalam abad ke-21 dan mencatat rekod kemenangan terbanyak di satu litar.

Bukan itu sahaja, pasukan McLaren turut mencuri tumpuan dengan peningkatan prestasi yang begitu mendadak apabila dua pelumbanya, Oscar Piastri meraih kemenangan pertama di Azerbaijan, manakala Lando Norris mencatatkan kemenangan di Singapura.

Kemenangan kedua-dua pelumba tersebut turut meletakkan pasukan McLaren dalam kedudukan terbaik untuk bersaing dalam kejuaran konstruktur sekaligus memberikan cabaran besar kepada pasukan gergasi seperti Red Bull dan Mercedes.

Menjelang musim 2025, beberapa perpindahan mengejutkan turut diumumkan dengan Lewis Hamilton yang secara rasmi bakal menyertai Ferrari tahun depan dan Sergio Perez dimaklumkan bakal meninggalkan Red Bull dan akan digantikan oleh Liam Lawson.

Manakala, McLaren dan Aston Martin adalah satu-satunya pasukan yang mengekalkan barisan pemandu 2024 mereka dan dilaporkan seramai enam pelumba baharu bakal mewarnai grid bagi musim depan.

F1 2025 bakal membuka tirai pada Mac 2025 dengan perlumbaan pembukaan di Melbourne, Australia, sebelum menutup musim yang penuh aksi di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dengan enjin sedia ada sebelum perubahan besar bakal diperkenalkan pada tahun 2026.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related