Projek MotoGP Red Bull KTM Factory Racing mengesahkan bakal terus berkerjasama menggunakan kepakaran dan kecemerlangan Lagenda MotoGP, Dani Pedrosa bagi tahun 2025 dalam membawa KTM RC16 ke peringkat tertinggi dalam sukan motosikal Grand Prix.
Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer mengatakan beliau mempercayai kesinambungan kontrak pelumba Sepanyol itu dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan berkaitan jentera buat pasukannya.
“Ini adalah keputusan yang mudah untuk kedua-dua pihak, dan ianya merupakan bukti antara hubungan dan kepercayaan yang kukuh antara kami. Kami benar-benar percaya dengan apa yang Dani boleh bawa kepada program MotoGP kami daripada pelbagai peringkat, bukan sahaja dari segi mencari generasi seterusnya untuk KTM RC16, malah mampu lebih dari itu.
“Kami tahu perubahan yang kami sedang cari akan tiba tidak lama lagi dan dengan Dani sebagai sebahagian daripada pasukan kami, kami percaya kita mampu kecapi impian yang diingini dengan lebih cepat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pedrosa akui turut merasa gembira diberikan peluang sekali lagi untuk meneruskan sumbangannya dalam pembangunan KTM RC16 untuk 7 tahun berturut-turut.
“Saya sangat gembira diberikan peluang untuk bersama KTM sekali lagi pada tahun hadapan. Kami sudah bekerja keras dalam mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki dan penambahbaikan yang harus dilakukan.
“Dan dengan kerja keras keseluruhan pasukan yang tidak pernah luntur dalam mencipta jentera terbaik untuk pelumba beraksi di atas litar. Saya merasakan tidak sabar untuk melihat apa lagi idea-idea yang bakal muncul dan apa lagi yang boleh kami kecapi untuk tahun 2025 nanti,” ungkapnya lagi.
Pedrosa dan KTM sudah mula menjalinkan kerjasama semenjak dari tahun 2019 apabila beliau bersara daripada pertandingan Kejohanan Dunia sepenuh masa dan terus memberikan sumbangannya dalam evolusi KTM RC16.
Dani juga telah membuat empat penampilan wildcard ketika masih dalam status pelumba uji dan sejak dari itu beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai evolusi teknikal MotoGP dan signifikannya.
Dalam pada itu, pelumba berusia 39 tahun itu akui akan meneruskan bantuannya dalam memberikan pandangan dan nasihat bagi memastikan usaha program ujian dan penyeledikan & pembangunan (R&D) Red Bull KTM Factory Racing di Austria berjaya membuahkan hasil menjelang MotoGP 2025 dan 2026.