Pelumba Britain, Cal Crutchlow, akan terus menggantikan Johann Zarco yang masih dibelenggu kecederaan bersama pasukan Castrol Honda LCR pada Grand Prix Britain, selepas tamat tempoh rehat musim panas.
Crutchlow, yang mengambil alih tempat Zarco sejak Grand Prix Itali, bakal kembali beraksi di hadapan penyokong sendiri di Litar Silverstone, litar yang menyimpan pelbagai kenangan manis sepanjang karier MotoGP beliau.
Kali terakhir pelumba berusia 40 tahun itu berlumba di Silverstone adalah pada musim 2021 bersama Monster Energy Yamaha MotoGP, manakala penampilan sepenuh masa terakhirnya di litar tersebut adalah pada 2019 apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam bersama Castrol Honda LCR.
Pencapaian paling diingati Crutchlow di Silverstone hadir pada musim 2016 apabila beliau meraih petak utama sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Keputusan itu turut menyaksikannya meraih podium kedua berturut-turut selepas mencipta kemenangan sulung MotoGP di Brno.
Sepanjang beraksi di Grand Prix Britain, Crutchlow telah mencatatkan lima keputusan dalam kelompok tujuh terbaik, termasuk tempat keenam (2012), ketujuh (2013), naib juara (2016), keempat (2017) dan keenam (2019).
Walaupun sukar untuk mengulangi pencapaian terbaik tersebut, kepulangan Crutchlow ke Silverstone bersama Castrol Honda LCR tetap menjadi detik yang dinantikan peminat tempatan. Selepas mempamerkan aksi kompetitif dengan bersaing merebut mata di Sachsenring, sokongan padu penyokong tuan rumah dijangka memberi suntikan semangat tambahan buat legenda Britain itu untuk sekali lagi mencabar kelompok pungutan mata di Silverstone.


