Imej dan penampilan atlet serta kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dianggap penting malah mencerminkan identiti sebuah negara. Selepas beberapa jam status pelancaran pakaian rasmi dimuat naik, warga maya memberi pandangan berbeza apabila imej negara melalui pakaian dibuat ‘ala kadar’ dan kelihatan tidak melambangkan kegarangan kontinjen negara.
Pada 23 Jun 2024, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperkenalkan pakaian dan kelengkapan rasmi kontinjen negara di The Exchange, TRX. Untuk edisi XXXIII Sukan Olimpik Paris 2024, Yonex Sunrise Malaysia dipilih sebagai penaja rasmi. Tema warna emas dipilih bagi mencerminkan kesungguhan atlit negara untuk dapatkan pingat emas di Paris.
Selepas dikritik hebat di pelbagai platform, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil beri penjelasan.
Yonex Sunrise sebelum ini pernah menyediakan pakaian rasmi untuk MOM untuk pelbagai sukan bermula acara Sukan SEA ke-31 Vietnam 2021. Rekaan baju rasmi dianggap cuba beri kelainan berbanding musim lalu.
Kontinjen Malaysia disahkan menghantar 21 atlit daripada 8 sukan berbeza di Paris bermula 26 Julai sehingga 11 Ogos 2024 antaranya berbasikal trek dan jalan raya, badminton, terjun, golf, sukan layar, menembak, memanah dan angkat berat.
Ini senarai penuh atlet negara yang dipilih ke Sukan Olimpik 2024:
Bertrand Rhodict Lises (Akuatik – Terjun), Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh OLY dan Nurul Azreena Mohd Fazil (Memanah), Lee Zii Jia OLY, Goh Jin Wei, Aaron Chia Teng Fong OLY-Soh Wooi Yik OLY, Pearly Tan Koong Le-Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (Badminton), Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal – Jalan Raya), Dato’ Mohd Azizulhasni Awang OLY, Muhammad Shah Firdaus Sahrom OLY dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Berbasikal – Trek), Gavin Kyle Green OLY (Golf), Khairulnizam Mohd Affendy OLY dan Nur Shazrin Mohamad Latif OLY (Pelayaran), Johnathan Wong Guanjie OLY) (Menembak) dan Muhammad Aniq Kasdan (Angkat Berat).
Sekali pun rekaan dan corak pakaian rasmi kontijen negara dikritik hebat oleh peminat sukan tanah air, kita tidak seharusnya mengalih pandangan untuk fokus kepada persembahan atlet negara di Paris pada edisi kali ini.
Biarpun dianggap buruk dan berbeza pandangan, corak pakaian masih mengekalkan identiti mamalia Harimau Malaya atau nama saintifik ‘Panthera’ yang sinonim dengan pakaian rasmi atlet negara apabila mewakili negara.