Dua pemenang baharu dan tujuh pemenang keseluruhan setakat ini menandakan betapa sengitnya musim MotoGP 2025 apabila saingan kini menuju ke Litar Antarabangsa Algarve, Portimão.
Dikenali sebagai “rollercoaster” kerana susun atur trek yang mencabar, Portimão bakal menjadi medan bagi ujian baharu untuk setiap pelumba, dengan rekod dan prestasi lalu yang menarik untuk diberikan tumpuan hujung minggu ini.
Gelaran juara dan naib juara dunia sudahpun menjadi milik adik-beradik Marquez, Marc dan Alex sekaligus menjadikan mereka pasangan adik beradik pertama dalam sejarah MotoGP yang menamatkan musim di kedudukan 1 dan 2. Walaupun Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) tidak akan berlumba lagi tahun ini, adiknya Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) kekal beraksi selepas kemenangan bergaya di Sepang yang mengukuhkan kedudukan naib juara dunia miliknya.
Menggantikan Marc untuk dua perlumbaan terakhir musim ini ialah naib juara dunia WorldSBK 2025, Nicolo Bulega. Pelumba muda Itali itu akan membuat debut MotoGP di Portimão sebelum berpindah sepenuhnya sebagai pelumba ujian Ducati pada 2026 menjelang peraturan baharu 2027.
Ujian awal di Jerez memberi peluang pertama buat Bulega menyesuaikan diri dengan jentera GP25, dan perlumbaan di Portugal ini dijangka menjadi pengalaman amat berharga buatnya walaupun sasarannya masih sederhana.
Pertarungan pingat gangsa: Bagnaia, Bezzecchi & Acosta
Tumpuan kini beralih kepada perebutan tempat ketiga keseluruhan antara tiga pelumba daripada tiga pasukan berbeza. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) dan Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) kini dipisahkan hanya satu mata selepas keputusan di Sepang. Bagnaia menang di Portimão pada 2023 tetapi gagal menamatkan perlumbaan tahun lalu selepas insiden dengan Marc Marquez, manakala Bezzecchi pula memiliki rekod podium di sini.
Sementara itu, Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) semakin menghampiri dua pelumba Itali itu selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Sepang. Dengan hanya 31 mata memisahkannya daripada Bezzecchi, pelumba muda Sepanyol itu masih berpeluang mencuri tempat ketiga musim ini, malah mungkin mengejutkan semua dengan kemenangan sulungnya di Portimão.
Persaingan kelompok 10 terbaik
Kedudukan enam hingga sepuluh turut menyaksikan pertukaran kedudukan hampir setiap pusingan. Rakan sepasukan Franco Morbidelli dan Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) dipisahkan satu mata sahaja, manakala Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) kembali menyerlah di Sepang dan kini empat mata di belakang Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP).
Bagi pelumba tuan rumah, Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha MotoGP), Grand Prix Portugal kali ini amat bermakna kerana ia merupakan penampilan terakhirnya di hadapan penyokong sendiri. Oliveira merupakan pelumba Portugal pertama yang menang di MotoGP dan beliau berhasil mencipta rekod tersebut di litar ini pada tahun 2020 menjadikan perlumbaan kali ini penuh dengan emosi dan semangat yang dijangkakan berbeza dari perlumbaan lain.
Dengan peluang untuk muncul pemenang baharu masih terbuka luas, Portimão dijangka menjadi perlumbaan penuh drama dan kejutan. Dari kemunculan sulung Nicolo Bulega hingga perpisahan penuh makna Miguel Oliveira, Grand Prix Portugal bakal menjadi pentas utama sebelum tirai musim 2025 dilabuhkan di Valencia.
Perlumbaan hujung minggu ini akan berlangsung dari 7 hingga 9 November dengan aksi dimulakan seawal dengan perlumbaan Moto3 seawal 8:30 pagi waktu tempatan dan diikuti sesi latihan Moto3,Moto2 dan MotoGP.
Baca juga:


