Nicolo Bulega terus mencipta sejarah dalam saingan Superbike World Championship apabila meraih kemenangan ke-13 berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 2 di TT Circuit Assen.
Kemenangan itu menyaksikan pelumba Aruba.it Racing – Ducati tersebut menyamai rekod sepanjang zaman milik Toprak Razgatlioglu yang dicatat pada musim 2024 dan 2025.
Lebih mengagumkan, Bulega turut mengekalkan rekod sempurna musim 2026 dengan sembilan kemenangan daripada sembilan perlumbaan setakat ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini.
Rentak kemenangan itu sebenarnya sudah bermula sejak penghujung musim lalu di Estoril 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kemenangan berturut-turutnya kini mencecah 13.
Dalam Perlumbaan 2, Sam Lowes sempat mendahului pada awal saingan sebelum dipintas oleh Iker Lecuona. Bulega yang berada di kedudukan ketiga pada awal perlumbaan kekal tenang sebelum melakukan dua pintasan penting seawal pusingan ketiga untuk mengambil alih kedudukan pendahulu.
Selepas itu, pelumba Itali berkenaan mengawal perlumbaan dengan cukup kemas untuk memastikan kemenangan, manakala Lecuona menamatkan saingan di tempat kedua dan Lowes melengkapkan podium di tempat ketiga.
Bulega mengakui pendekatan tenang itu menjadi kunci kejayaannya dalam perlumbaan tersebut.
“Saya tak buat permulaan yang sempurna, Sam dan Iker memintas saya pada awal perlumbaan. Saya kekal tenang dan cuba faham di mana saya boleh memintas mereka. Selepas itu, perlumbaan jadi sangat baik. Kami juga berjaya perbaiki ‘feeling’ jentera berbanding semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Bulega turut menegaskan kejayaan luar biasa ini adalah hasil kerja keras bersama pasukan Ducati.
“Saya berada dalam keadaan yang sangat baik sekarang. Bila menang 13 kali berturut-turut, ia beri motivasi besar. Pasukan sentiasa dengar maklum balas saya dan itu bantu kami terus meningkat dari satu sesi ke sesi lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pelumba Britain Tommy Bridewell, hampir meraih mata selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16, hanya 1.585 saat di belakang kelompok mata, sambil menewaskan Alberto Surra, Garrett Gerloff, Jonathan Rea dan Bahattin Sofuoglu yang melengkapkan kelompok 20 terbaik. Seperti Perlumbaan 1, kesemua 22 pelumba yang memulakan aksi berjaya menamatkan perlumbaan, dengan Mattia Rato dan pelumba wildcard Twan Smits melengkapkan senarai penamat.
Dalam Perlumbaan 2 World Superbike Championship di TT Circuit Assen, Nicolo Bulega sekali lagi tampil dominan untuk meraih kemenangan di hadapan rakan sepasukan, Iker Lecuona (+2.724s), manakala Sam Lowes melengkapkan podium di tempat ketiga (+5.257s). Kedudukan keempat hingga keenam masing-masing menjadi milik Alvaro Bautista, Yari Montella dan Lorenzo Baldassarri, sekali gus menyaksikan penguasaan penuh jentera Ducati dalam kelompok enam teratas.
Bulega turut mencatat lap terpantas perlumbaan dengan masa 1’33.162s, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak carta kejuaraan dengan 186 mata. Lecuona kekal di tangga kedua dengan 117 mata, diikuti Lowes (82 mata), manakala Miguel Oliveira dan Alex Lowes terikat dengan 69 mata di tempat keempat dan kelima. Axel Bassani pula melengkapkan enam teratas keseluruhan dengan 67 mata.
Dengan 22 podium berturut-turut serta kelebihan besar dalam carta kejuaraan, Bulega kini semakin hampir untuk mencipta rekod baharu dan mengukuhkan namanya sebagai antara pelumba terbaik dalam era moden WorldSBK.
Baca juga:


