Meskipun kurang sihat, pelumba tunggal Aprilia Marco Bezzecchi tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dalam sesi ujian musim sejuk di Sepang hari ini.
Selepas mencatat kedudukan kelapan, pelumba Itali itu gembira dengan masa terbaiknya, 1:57.328 saat, yang diraih selepas melengkapkan lapan pusingan.
“Hari ini merupakan cubaan pertama saya dalam serangan masa (time attack), dan saya amat gembira dengan prestasi pada sesi pagi. Saya tidak meletakkan sebarang had hari ini kerana mahu mengumpul sebanyak mungkin data.
“Namun, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari, terutamanya mengenai had jentera ini. Tetapi yang paling penting adalah kejayaan dalam serangan masa dan melihat kepada penambahbaikan yang telah kami capai hari ini. Kerja kami masih belum selesai kerana masih banyak aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.
Dari segi keselesaan, Bezzechi mengakui masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera Aprilia, terutama kerana sudah terbiasa membawa jentera lamanya sebelum ini. Dia juga membandingkan prestasinya dengan pelumba ujian, Lorenzo Savadori, yang dianggap mempamerkan aksi lebih cemerlang hari ini.
“Jika dibandingkan dengan Sava, sudah tentu dia lebih cemerlang kerana telah lama bersama Aprilia. Namun, saya lebih mahir dalam aspek brek kerana saya cuba memaksimumkan keupayaan itu ketika menunggang. Kadangkala, masih sukar untuk saya melakukan apa yang biasa saya lakukan dengan Aprilia kerana segalanya masih baharu bagi saya.

“Walaupun begitu, saya secara perlahan-lahan semakin baik dalam menyesuaikan diri dan mula menunjukkan peningkatan di beberapa selekoh.
“Saya agak berpuas hati dengan aksi saya hari ini, tetapi masih sukar untuk mendapatkan rentak kerana saya mencuba pelbagai perkara baharu. Dari segi brek ianya sudah dapat mencengkam dengan baik hari ini.
“Namun, saya bangga kerana menerima maklum balas positif, walaupun perjalanan kami masih jauh dalam mencari tetapan dan gaya tunggangan yang terbaik. Saya masih ingin melakukan ujian pecut (sprint) untuk melihat potensi sebenar jentera ini, tetapi kita tunggu dan lihat bagaimana perkembangannya nanti,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Lorenzo Savadori yang lebih menumpukan kepada penambahbaikan jentera berbanding prestasi peribadi, menyatakan bahawa aspek brek masih memerlukan perhatian utama.
“Dari sudut prestasi, brek memerlukan penambahbaikan. Saya dapat merasakan kekurangannya ketika memasuki selekoh, dan ia tidak memberikan ‘feeling’ yang baik seperti musim lalu.

“Ketika saya menggantikan Raul Fernandez musim lalu, saya berjaya mencatat masa 1:58.8 saat, meskipun dengan tayar medium. Di sini, jelas tayar yang digunakan berbeza kerana kami menggunakan tayar kompaun lembut, yang memberikan lebih margin dalam catatan masa.
“Namun, kami tidak mempunyai banyak masa kerana perlu mengenal pasti pelbagai perkara dari segi tayar dan keadaan jentera, yang memerlukan lebih perhatian di sini,” jelasnya.
Selepas sesi ujian hari ketiga pra-musim, Aprilia menerima reaksi dan maklum balas yang berbeza selepas Marco Bezzechi dan Lorenzo Savadori, masing-masing mempunyai pendapat tersendiri khususnya mengenai prestasi brek jentera mereka.
Dengan keputusan yang diperoleh hari ini, ia sekali gus menandakan berakhirnya sesi latihan pra-musim bagi pasukan Aprilia di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) dan mereka bakal meneruskan usaha dalam mencari data terperinci sebelum aksi pembukaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram Thailand tidak lama lagi.


