Brad Binder pamer aksi cemerlang dalam Sprint MotoGP Grand Prix Solidariti Barcelona selepas berjaya mengatasi cabaran di Litar de Barcelona-Catalunya yang sengit dan berakhir di dalam kelompok sepuluh terbaik pada Sabtu.
Pelumba Red Bull KTM Racing itu berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-9, dengan jarak +5.573 saat dari pemenang perlumbaan Pecco Bagnaia (Ducati Lenovo) dengan usaha kerasnya yang turut meletakkan beliau sebagai pelumba pertama KTM dengan catatan terbaik dalam perlumbaan tersebut.
“Sesi kelayakan memang sukar buat saya dan saya mengakui tidak dapat melakukan lap yang baik. Saya memulakan perlumbaan dengan baik hari ini dan berjaya naik ke tempat ke-9, bagi saya ianya sudah baik cuma sudah pasti saya menginginkan lebih lagi dalam pusingan GP terakhir ini.
“Sukar untuk menguruskan bahagian depan dan saya tahu ia akan menjadi sukar dari tempat ke-18, tetapi jentera KTM saya sangat pantas di garisan permulaan dan pasukan saya telah melakukan kerja yang baik dan hebat untuk memastikan kami berada dalam kedudukan terbaik dalam perlumbaan tersebut” kata Brad Binder menerusi satu kenyataan.
Rakan sepasukannya, Jack Miller juga menyatakan cuba memperbaiki kedudukan dalam perlumbaan namun gagal apabila menghadapi kesukaran dalam mencari cengkaman tayar yang sesuai dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.
“Perlumbaan yang sukar. Saya banyak tergelincir dengan pemilihan tayar medium. Bukan keadaan yang ideal. Saya juga berjuang hingga ke garisan penamat selagi mampu, namun rentak saya tidak begitu baik. Rentak di bahagian depan motosikal dalam keadaan bagus, namun saya tidak dapat menghasilkan apa-apa disebabkan tayar belakang dalam keadaan kurang baik.
“Kami akan memastikan untuk menganalisis semula perlumbaan malam ini dan cuba untuk memahami dan melakukan yang terbaik untuk esok,” katanya.
Pelumba Red Bull KTM Racing akan meneruskan saingan mereka dalam perlumbaan pusingan akhir MotoGP 2024 yang dijadualkan akan berlangsung sekitar pukul 9.00 malam waktu tempatan dengan Brad Binder dan Jack Miller sebagai tonggak utama mereka.