Bezzechi hampir cipta keajaiban di Misano

Harapan ribuan peminat Itali di Litar Misano World Circuit Marco Simoncelli hampir menjadi kenyataan apabila Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) beraksi penuh bersemangat dalam Grand Prix San Marino dan Riviera Rimini.

Namun, satu kesilapan kecil di selekoh 8 membuka ruang buat Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) merampas kemenangan dramatik, hanya berbaki beberapa pusingan terakhir.

Bezzecchi, yang bermula daripada petak utama dan sebelum itu muncul juara Sprint, mengekalkan kawalan di awal perlumbaan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah. Tetapi, ketika tayar mula hilang cengkaman, pelumba Itali itu melakukan kesilapan kecil yang mengubah nasibnya.

“Saya fikir saya mampu bawa pulang kemenangan, itu memang sasaran saya di hadapan penyokong sendiri. Tetapi di selekoh 8, saya lakukan kesilapan kecil yang memaksa saya untuk lepaskan brek depan supaya tidak hilang kawalan, dan Marc mengambil peluang itu.

Saya cuba bertahan, cuba kekal rapat, tetapi dia terlalu pantas. Walaupun kecewa, saya tetap gembira kerana dapat bertarung hingga ke garisan penamat,” jelasnya.

Marquez akhirnya menamatkan perlumbaan hanya 0.568 saat di hadapan Bezzecchi, sekali gus menebus kesilapan dalam Sprint sehari sebelumnya. Lebih manis, kemenangan ini juga menghadiahkan “match point” pertama buat pelumba Sepanyol itu yang kini hanya selangkah lagi untuk ditabalkan sebagai Juara Dunia 2025 di Motegi, Jepun.

“Cara terbaik melupakan kesilapan lalu adalah dengan tidak menghiraukan perlumbaan lepas dan kembali menunggang dengan fokus penuh. Bezzecchi sangat kuat, terutama sekali kerana GP kali ini kami berlumba di rumahnya. Kami berdua menolak hingga ke tahap had kami, tetapi saya berjaya kekal konsisten hingga ke saat akhir. Sekarang gelaran dunia semakin hampir, tetapi saya perlu kekalkan mentaliti sama sehingga ia benar-benar sah milik saya.

Di belakang dua jaguh itu, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing) melengkapkan podium di tempat ketiga dengan jentera edisi khas penghormatan buat Fausto Gresini.

Kedudukan Kejuaraan Dunia Selepas GP San Marino 2025

  1. Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) – 341 mata
  2. Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) – 289 mata
  3. Alex Marquez (BK8 Gresini Racing) – 267 mata
  4. Jorge Martin (Aprilia Racing) – 241 mata
  5. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) – 210 mata

Dengan keputusan ini, Marc Marquez semakin hampir untuk menutup musim dengan gelaran dunia ketujuhnya. Namun, di sebalik kegagalan tipis di Misano, Bezzecchi berjaya membuktikan dirinya sebagai pahlawan sejati di tanah air sendiri,seorang pelumba yang berani bermimpi, walaupun hanya satu kesilapan kecil memisahkannya daripada kemenangan bersejarah.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related