Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Bartelle sekali lagi tempah petak pertama

Kali kedua berturut-turut, pelumba Level UP-MTA, Matteo Bertelle berjaya menempah petak pertama dalam kategori Moto3 selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan Grand Prix Argentina pada awal pagi tadi.

Dengan aksi yang luar biasa, pelumba berusia 21 tahun itu mara ke Q2 melalui Q1 sebelum akhirnya mengesahkan kedudukan petak utama, meskipun terpaksa bergelut dengan keadaan cuaca hujan di Litar Termas de Río Hondo.

Bertelle turut memastikan tempatnya di Q2 bersama Marcos Uriarte, Taiyo Furusato, dan Adrián Cruces.

Seawal sesi kelayakan bermula, Bertelle terus mempamerkan dominasinya dengan catatan masa terpantas 1 minit 46.425 saat. Sementara itu, Joel Esteban menjadi satu-satunya pelumba yang masih belum mencatatkan sebarang masa pusingan.

Dengan kebanyakan pelumba telah melengkapkan kira-kira empat pusingan, Bertelle masih kekal di kedudukan teratas, diikuti oleh Riccardo Rossi yang ketinggalan 0.306 saat dan Álvaro Carpe di tempat ketiga dengan perbezaan 0.366 saat.

Menjelang pertengahan sesi, para pelumba kembali ke garaj untuk bersiap sedia melakukan percubaan terakhir dalam perebutan petak utama.

Sebaik kembali ke trek, persaingan menjadi semakin sengit. Riccardo Rossi dan Scott Ogden terlibat dalam insiden dramatik di sektor ketiga yang menyebabkan kedua-duanya terjatuh, hanya dua minit sebelum sesi tamat. Insiden ini mengakibatkan bendera kuning dikibarkan, memberi kesan kepada pelumba lain yang masih berada di litar. Rossi dan Ogden tidak dapat meneruskan sesi kelayakan mereka dan jelas kecewa dengan apa yang berlaku.

Memetik laporan dari motorcyclesports.net, Race Direction telah menganalisis insiden tersebut dan memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang penalti kepada kedua-dua pelumba.

Sesi kelayakan akhirnya berakhir dengan Ángel Piqueras berjaya meraih tempat kedua, manakala Ryusei Yamanaka melengkapkan barisan hadapan di tempat ketiga. Dengan keputusan ini, Bertelle akan memulakan perlumbaan dari petak utama di Grand Prix Argentina, sekali lagi membuktikan keunggulannya di atas litar.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related