Berbaki kurang dari 2 bulan lagi, bayangkan anda bakal menonton “Grand Prix Bahrain” tetapi bendera yang berkibar di litar itu adalah bendera Malaysia. Walhal, ‘race week’ sebenarnya berlangsung beribu kilometer jauhnya di Asia Tenggara. Dalam dunia Formula 1, nama sesebuah perlumbaan tidak semestinya mencerminkan lokasi sebenar ia dilangsungkan dan sejarah sukan ini penuh dengan contoh-contoh unik sebegini, didorong oleh pelbagai faktor antaranya politik, keselamatan, dan juga strategi kalendar.
Switzerland yang Berlumba di Perancis
Grand Prix Switzerland 1982 mungkin kedengaran macam ianya akan berlangsung di pergunungan Alps, tetapi hakikatnya perlumbaan itu diadakan di litar Dijon-Prenois, Perancis. Ini kerana Switzerland telah mengharamkan sukan perlumbaan motor sejak tragedi maut di Le Mans pada tahun 1955, salah satu peristiwa paling gelap dalam sejarah sukan automotif. Larangan itu bermakna mana-mana perlumbaan berjenama “Switzerland” terpaksa dijalankan di luar sempadan negara tersebut. Dijon-Prenois yang terletak berdekatan sempadan Perancis-Switzerland menjadi pilihan logik untuk mengekalkan nama perlumbaan itu tanpa melanggar undang-undang tempatan.
San Marino, Tapi Sebenarnya di Itali
Selama lebih dua dekad, dari 1981 hingga 2006, peminat F1 menyaksikan Grand Prix San Marino, namun litar Imola yang menjadi tuan rumah sebenarnya terletak sepenuhnya di Itali. San Marino, sebuah negara kecil (microstate) yang dikelilingi sepenuhnya oleh Itali, tidak mempunyai litar sendiri yang layak untuk spesifikasi F1. Nama itu digunakan sebagai helah bijak supaya Itali dapat menganjurkan dua perlumbaan dalam satu musim tanpa dua-duanya dinamakan “Grand Prix Itali.” Strategi ini membolehkan Imola kekal relevan dalam kalendar F1 selama bertahun-tahun, walaupun San Marino sendiri tidak pernah menjadi tuan rumah walau seminit pun.
Luxembourg di Bumi Jerman
Pada 1997 dan 1998, Grand Prix Luxembourg turut mengikut trend yang sama dimana ia bukan di Luxembourg, tetapi di litar lagenda Nürburgring, Jerman. Ketika itu, Jerman sudah mempunyai Grand Prix Jerman rasminya sendiri dalam kalendar musim tersebut. Untuk memasukkan perlumbaan kedua di tanah Jerman tanpa menimbulkan kekeliruan dengan dua “Grand Prix Jerman,” penganjur menggunakan nama Luxembourg sebagai jenama alternatif. Sekali lagi, ini menunjukkan bagaimana geografi sebenar sesebuah litar boleh dipisahkan sepenuhnya daripada nama rasmi perlumbaan itu.
Bahrain akan Berlumba di Sepang, Malaysia
Dan pastinya, tidak dilupakan ialah Grand Prix Bahrain 2026 yang bakal beraksi tidak lama lagi. Disebabkan konflik perang Iran dan Amerika Syarikat yang menjejaskan kestabilan rantau Timur Tengah, tarikh asal perlumbaan di Litar Antarabangsa Bahrain pada 12 April terpaksa dibatalkan. Bagi mengekalkan perlumbaan tersebut dalam kalendar, Formula 1, FIA, serta kerajaan Bahrain dan Malaysia mencapai persetujuan untuk memindahkan acara itu ke Litar Antarabangsa Sepang, dijadualkan pada 2 hingga 4 Oktober 2026. Perlumbaan ini akan dikenali secara rasmi sebagai “Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia”, nama yang menggabungkan identiti Bahrain dengan lokasi sebenar di Sepang, Malaysia. Ini juga menandakan detik nostalgia yang telah lama dinantikan buat semua peminat F1 tempatan, kerana Sepang terakhir menjadi tuan rumah perlumbaan F1 (Grand Prix Malaysia) pada tahun 2017.
Jadi Apa Maksudnya?
Trend “tersalah negara” ini menunjukkan betapa fleksibelnya hubungan antara identiti sesebuah Grand Prix dengan geografi sebenarnya. Sama ada disebabkan sekatan undang-undang, taktik komersial, atau krisis geopolitik yang tidak dijangka, F1 sentiasa mencari jalan untuk terus berlumba walau apa pun cabarannya. Akhir kata, nama sesebuah perlumbaan mungkin hanya jenama rasmi bagi memenuhi keperluan komersial tetapi semangat dan sejarah litar di sebaliknya kekal bermakna buat peminat di seluruh dunia.


