Alessio Salucci atau lebih mesra dipanggil Uccio, tangan kanan legenda MotoGP Valentino Rossi dan kini Pengarah Pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team mengesahkan bahawa Francesco Pecco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) sememangnya menguji jentera GP24 milik pasukan mereka di Misano, Isnin lalu.
Perkara itu dimaklumkannya di litar Indonesia pada Jumaat. GP24 yang merujuk kepada versi tahun 2024 jentera Ducati Desmosedici MotoGP, iaitu juga merupakan motosikal yang digunakan Bagnaia musim lalu ketika memburu kejuaraan dunia, dan kini ditunggangi oleh Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP), Fermin Aldeguer serta Franco Morbidelli dari pasukan VR46.
Sementara itu, Bagnaia pada musim ini menggunakan spesifikasi terkini, GP25, yang menyaksikan beliau melalui permulaan musim yang agak mencabar.
“Ducati meminta sesuatu daripada kami. Kami keluarga Ducati, keluarga VR46, jadi kami cuba membantu sedikit di Misano. Pada Isnin itu, Pecco mencuba motosikal kami yang merupakan jentera kepada Morbidelli. Selepas ujian, motosikal itu kembali ke garaj kami dan selebihnya saya tidak tahu,” kata Uccio ketika ditemui di pitlane.
Ujian tersebut menjadi titik penting buat juara dunia 2022 dan 2023 itu. Selepas sesi di Misano, Bagnaia tampil luar biasa di Jepun apabila meraih kemenangan berganda di Motegi sesuatu yang sebelum ini hanya berjaya dilakukan rakan sepasukannya, Marc Marquez.
Apa yang ditemui Bagnaia pada ujian GP24 atau apa yang telah disesuaikan pada GP25 miliknya masih menjadi tanda tanya, dan kemungkinan besar tidak akan didedahkan secara rasmi oleh Ducati Lenovo Team.
Namun, pengesahan daripada Uccio ini merupakan kali pertama bukti jelas bahawa pelumba nombor #63 itu pernah menguji GP24 tepat sebelum beliau kembali menemui rentak kemenangan yang menakjubkan.
Baca juga:


