Pusingan akhir MotoGP yang penuh drama menyaksikan Francesco Bagnaia berjaya mengungguli sesi latihan di Litar de Barcelona-Catalunya pada malam Jumaat waktu tempatan.
Pecco yang memulakan sesi petang dengan menduduki tempat ketujuh dalam latihan bebas berhasil memperbaiki kedudukannya untuk berada di tempat lebih baik dengan mengekalkan diri dalam kelompok empat terbaik sambil turut menumpukan fokus kepada pelarasan jenteranya dalam perlumbaan tersebut.
Pecco kemudian membuat pecutan terakhir di pusingan serangan masa dengan catatan masa terpantas 1:38.918 saat, memastikan kedudukan pertama dalam genggaman apabila bendera penamat dikibarkan.
“Saya berpuas hati dengan hari ini, kami berjaya mencuba semua dalam rancangan dan memperbaiki apa yang patut dalam setiap pusingan. Suhu yang lebih rendah dan cengkaman yang kurang mencabar, tetapi pelarasan pada set-up memberikan hasil yang positif.
“Saya gembira dengan kerja yang dilakukan serta serangan masa. Esok pagi, kami akan melakukan beberapa pelarasan kecil dan mencuba tayar keras untuk melihat sama ada ia sesuai untuk perlumbaan pecut. Sasaran utama sekarang ialah layak di barisan depan untuk memudahkan perlumbaan, kemudian kami akan memberi tumpuan pada perlumbaan,” katanya.
Pasukan Ducati jelas memulakan saingan di Montmelo dengan persembahan cemerlang apabila rakan sekumpulannya, Enea Bastianini turut berjaya menamatkan sesi latihan di tempat kesepuluh.
Aksi sesi latihan, Bastianini kelihatan menghadapi kesukaran dan terpaksa bergelut untuk memperbaiki kedudukannya. Namun, dalam serangan masa beliau berjaya melonjak ke kedudukan teratas untuk memastikan dirinya lolos ke Q2 apabila menempatkan diri dalam kelompok sepuluh terbaik.
“Hari ini agak mencabar kerana kami mencuba pelbagai kombinasi tayar untuk memahami mana yang terbaik. Situasi di bahagian hadapan agak jelas kerana saya menyukai pilihan medium dan keras, tetapi kami perlu terus bekerja pada bahagian belakang esok pagi.
“Kami sedar kami sudah kehilangan masa di sektor ketiga dan akan memberi tumpuan yang sebaiknya pada kawasan itu, namun prestasi kami agak baik di bahagian litar yang lain. Saya berasa lebih selesa dengan keadaan yang lebih sejuk di Montmeló, dan saya harap ia akan memberi kelebihan. Kita lihat bagaimana keadaannya esok,” jelasnya.
Pasukan Ducati Lenovo akan kembali beraksi petang ini sekitar jam 5.00 waktu tempatan untuk Latihan Bebas 2, diikuti oleh Q2 pada 5.50 petang dan perlumbaan pecut 12 pusingan pada jam pukul 10.00 malam.