Bagnaia Berang: Bendera Kuning Palsu & Pusingan Dibatalkan

Pecco Bagnaia berang selepas keputusan kontroversi menyebabkan dia terlepas slot automatik ke Q2 pada hari pembukaan latihan di Grand Prix Thailand 2025. Bendera kuning yang tersalah dipaparkan, yang kemudiannya diakui sebagai kesilapan oleh ”Race Direction“, menyebabkan catatan masa pusingan terpantasnya dibatalkan, memaksanya turun ke Q1 – dan perlu bersaing untuk 2 tempat terpantas demi melayakkannya ke Q2.

Bagnaia sudah menghadapi sesi yang mencabar apabila dia dihalang oleh rakan VR46 Academy, Franco Morbidelli, dalam pusingan terakhirnya yang berpotensi menjaminnya tempat ke Q2. Namun, dia kemudian mengakui bahawa kekecewaannya lebih tertumpu kepada Race Direction daripada Franco Morbidelli.

Isu utama berpunca daripada pusingan 1m29.492s yang dilakukan Bagnaia di penghujung sesi—lebih dua persepuluh saat lebih pantas daripada masa rasmi terbaiknya. Namun, pusingan itu dibatalkan kerana bendera kuning yang tersalah dipaparkan di sektornya, walaupun tiada sebarang insiden atau kemalangan berlaku.

Bagnaia bukan satu-satunya pelumba yang terkesan—Alex Rins (Yamaha), yang mengekori rapat, juga kehilangan pusingannya. Namun, tidak seperti Bagnaia, masa Rins masih tidak mencukupi untuk menembusi kelompok 10 terbaik, menjadikan Bagnaia sebagai pelumba paling terkesan akibat kesilapan ini.

Sekiranya pusingannya tidak dibatalkan, Bagnaia akan layak terus ke Q2 dan menyingkirkan Johann Zarco dari kedudukan 10 terbaik.

Berbicara kepada media, Bagnaia tidak menyembunyikan kekecewaannya:

“Mereka melakukan kesilapan yang sangat besar hari ini. Mereka meletakkan bendera kuning dari selekoh 8 hingga selekoh 3 secara tidak sengaja – tiada siapa yang terjatuh di situ.”
“Dan mereka mengaku kepada saya, ‘baiklah, anda betul, kami melakukan kesilapan – tetapi kami tidak boleh memberikan semula pusingan itu kerana ini tetap peraturan.’
Bagi saya, ini tidak betul. Bagi semua pelumba lain juga tidak betul, kerana kami baru sahaja berbincang tentang perkara ini lima minit yang lalu dalam mesyuarat keselamatan.”

“Mereka turut katakan, ‘baik, jika kami beri kembali masa pusingan kepada anda, kami akan membuka lebih ruang untuk pelumba berdebat apabila kami batalkan masa mereka. Saya katakan, sekiranya pelumba terbabas, saya terima. Misalnya, di Barcelona apabila posisi pole saya terbatal kerana saya tidak nampak bendera kuning, saya terima. Tetapi bukan hari ini.”

Pengarah perlumbaan kemudian memohon maaf kepada Bagnaia dan Ducati melalui satu kenyataan daripada Mike Webb, tetapi keputusan tetap tidak berubah.

“Race Direction telah menentukan bahawa bendera kuning telah dipaparkan secara tidak betul pada pusingan Bagnaia, menyebabkan pusingannya dibatalkan. Ini berlaku akibat kesilapan manusia. Kami sangat kecewa dengan situasi ini dan kesannya terhadap hujung minggu Pecco. Apabila seorang pelumba melalui bendera kuning, pusingannya akan dibatalkan secara automatik. Perkara ini telah menjejaskan beberapa pelumba hari ini, dan malangnya, ia adalah pusingan terpantas Bagnaia dalam sesi tersebut. Pusingan dibatalkan kerana pelumba melalui bendera kuning, bukan semestinya kerana mereka memasuki sektor di mana terdapat kemalangan. Kami tidak dapat membatalkan sebarang pembatalan pusingan bagi mana-mana pelumba yang telah melihat bendera kuning. Namun, apa yang boleh kami lakukan—dan sedang kami lakukan—ialah memohon maaf kepada Bagnaia dan pasukan Ducati Lenovo atas kesilapan ini.” Mike Webb

Morbidelli – Bagnaia

Selain drama bendera kuning, catatan masa Bagnaia juga terjejas apabila Franco Morbidelli menghalangnya dalam pusingan terakhir Pecco. Bagnaia menyatakan bahawa Morbidelli bukan satu-satunya pelumba yang memperlahankan jentera di laluan perlumbaan, tetapi tetap menganggap insiden itu sebagai satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku.

Morbidelli kemudiannya dikenakan penalti tiga petak grid kerana menghalang Bagnaia, hukuman yang sama diterima oleh Somkiat Chantra (LCR Honda) kerana menghalang Alex Marquez di bahagian lain trek.

Morbidelli mempertahankan dirinya, menjelaskan bahawa dia turut terperangkap apabila Jack Miller dan Joan Mir memperlahankan jentera mereka di hadapannya, menyebabkan dia tidak dapat bergerak ke tepi lebih awal.

“Insiden berbahaya itu berlaku dengan saya.”
“Saya adalah pelumba terakhir dalam kumpulan yang bergerak perlahan. Jika saya lebih bijak dan segera keluar dari laluan perlumbaan, tiada apa yang akan berlaku kepada dua pelumba di hadapan saya.”

Bukan nasib yang baik buat Pecco hari in. Cubaan pertama terbatal apabila Race Direction tersilap memaparkan bendera kuning. Cubaan kedua pula tidak berjaya apabila terdapat kemalangan (Marco Bezzecchi, namun bendera kuning tidak dikibarkan, dan cubaan ketiga terhalang apabila insiden bersama Morbidelli.

Pecco akan terpaksa bersaing untuk dua tempat terpantas di Q1 demi melayakkannya ke Q2 esok, sekali gus cuba mendapat posisi terbaik untuk perlumbaan di GP Thailand. Namun begitu, pelumba Itali tersebut berpuas hati dengan prestasi di hari pertama dan yakin boleh memberi saingan bersama Marc Marquez esok.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related