Perlumbaan 1 Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila kedua-dua pelumba negara, Adam Danial dan Sharf Muhriz, terlibat dalam kemalangan di Selekoh 9 pada pusingan pertama.

Situasi menjadi cemas apabila asap hitam kelihatan dari jentera Adam Danial, memaksa perlumbaan dihentikan serta-merta dengan bendera merah dikibarkan. Perlumbaan kemudian dimulakan semula dengan 10 pusingan, namun kedua-dua pelumba Malaysia tidak dapat meneruskan saingan.
Empat pelumba yang terlibat dalam insiden itu ialah Adam Danial, Sharf Muhriz, Alvaro Hetta Mahendra, dan Davino Britani. Adam dikejarkan ke hospital Buriram untuk pemeriksaan lanjut.
Sharf Beri Reaksi Mengenai Insiden & Fokus Perlumbaan Esok
Mengulas tentang insiden itu, Sharf Muhriz berkata:
“Saya tidak dapat menghabiskan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan di Selekoh 9. Saya cuba mengelak Davino dan akhirnya terjatuh. Sekarang Adam berada di hospital, dan saya harap dia baik-baik saja dan tidak mengalami kecederaan serius.”
“Esok, saya akan cuba bangkit dan berikan yang terbaik.”
Sharf Muhriz akan berlumba esok, namun masih belum pasti sama ada Adam Danial cergas untuk beraksi. Adam memulakan perlumbaan hari ini dari P16, manakala Sharf dari P18.
Minggu Mencabar Buat Sharf
Minggu ini bukan minggu yang mudah buat Sharf. Pada sesi latihan pertama (FP1), Sharf berdepan dengan masalah downshift, sebelum terjatuh dalam FP2. Cabaran berterusan apabila dia sekali lagi terjatuh dalam sesi kelayakan. Namun, meskipun menghadapi kesukaran dalam pusingan pertama, Sharf tetap bersemangat untuk bangkit dalam perlumbaan kedua esok dan berharap dapat menunjukkan aksi yang lebih baik.

Perlumbaan seterusnya bakal menjadi satu cabaran besar buat Sharf yang mahu menebus kekecewaannya, manakala Adam Danial dilaporkan tiada kecederaan serius dan ditahan di hospital untuk pemerhatian.
Keputusan untuk Adam berlumba atau tidak untuk esok belum lagi diketahui. Perlumbaan 2 dijadualkan bermula esok pada 10.45 pagi waktu Malaysia, Ahad (2 Mac 2025).


