Perlumbaan kedua Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram berlangsung sebentar tadi dengan kedua-dua pelumba negara, Adam Danial dan Sharf Muhriz, disahkan cergas untuk berlumba selepas insiden kemalangan dalam Perlumbaan 1 semalam.
Dalam perlumbaan pertama, Adam dan Sharf terlibat dalam kemalangan di Selekoh 9, dengan jentera Adam terbakar akibat impak pelanggaran. Adam segera dikejarkan ke hospital di Buriram untuk pemeriksaan lanjut tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil.

Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, Adam tetap turun ke litar untuk Perlumbaan 2, bermula dari P16 dan berjaya menamatkan perlumbaan di P12.
“Keadaan saya hari ini lebih baik dari semalam. Semalam saya terbabas di Selekoh 9 selepas terlanggar pelumba lain dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan. Saya cuba mengikut Davino, tetapi dia terbabas di depan saya dan saya tidak sempat mengelak.”
“Saya bangga kerana dapat berlumba semula. Saya sendiri tidak menjangka dapat berlumba hari ini kerana badan saya masih belum pulih sepenuhnya. Saya hanya mahu mencuba apa yang saya mampu dan mengejar pelumba lain. Alhamdulillah, saya dapat menamatkan perlumbaan di P12. Untuk pusingan seterusnya, saya akan cuba lebih baik dan sasarkan berada dalam kelompok lima terpantas.”

Sementara itu, Sharf Muhriz yang bermula dari P18 turut berjaya memintas beberapa pelumba dan berada di P14. Namun, masalah jentera kembali mengganggunya apabila dia mengalami kesukaran menurunkan gear, menyebabkan dia dikenakan long lap penalty atas tunggangan tidak bertanggungjawab. Masalah tersebut memaksanya menamatkan perlumbaan lebih awal.
Kecewa dengan minggu ini, Sharf mengakui cabaran teknikal telah menjejaskan prestasinya sepanjang hujung minggu.
“Saya tidak dapat menurunkan gear kerana masalah dengan dropshift. Ia membahayakan pelumba lain, sedangkan ada pelumba lain yang datang dengan laju dari belakang. Masalah ini sama seperti yang berlaku ketika FP1 pada hari Jumaat.”
“Saya akan cuba buat latihan secukupnya sebagai persediaan menghadapi pusingan di Qatar nanti.”
Selepas minggu yang mencabar di Buriram, kedua-dua pelumba kini akan memberi tumpuan kepada pusingan seterusnya di Qatar pada 11 – 13 Mac bagi memburu keputusan yang lebih baik.


