Datin Anita Azrina Abdul Aziz mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama menerajui Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Jawatan yang sebelum ini disandang oleh Tan Sri Azman Yahya selama 15 tahun turut menandakan berakhirnya satu era penting dalam landskap pembangunan sukan permotoran negara, yang telah menyaksikan Malaysia semakin kukuh di pentas antarabangsa.
Anita bukanlah nama asing dalam dunia sukan permotoran, malah cukup sinonim sebagai antara tokoh utama di sebalik kejayaan penajaan pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG oleh PETRONAS yang juga merupakan kerjasama sukan paling berprestij dan dihormati di dunia.
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam entiti di bawah PETRONAS termasuk Petrosains, Dewan Filharmonik PETRONAS dan yang terkini, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Selain itu, beliau turut menganggotai lembaga pengarah Yayasan PETRONAS dan PETRONAS Lubricants International.
“Saya amat berbesar hati menerima tanggungjawab ini pada waktu yang sarat dengan potensi untuk transformasi. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Tan Sri Azman atas legasi luar biasa yang telah beliau tinggalkan. Saya berazam untuk terus memperkukuh kedudukan SIC sebagai hab inovasi dan destinasi utama sukan permotoran bertaraf global,” kata Anita dalam satu kenyataan SIC.
Pelantikan Datin Anita Azrina membawa nafas baharu kepada SIC. Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang sukan permotoran, strategi korporat dan pengurusan jenama, beliau diyakini mampu memacu SIC ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, sepanjang tempoh SIC di bawah pimpinan Tan Sri Azman, litar ini telah berkembang menjadi destinasi sukan permotoran bertaraf dunia, bukan sahaja dari aspek prestasi kewangan yang memberangsangkan, tetapi juga dari segi pembangunan bakat tempatan dan kemudahan infrastruktur yang moden.
Antara pencapaian utama sepanjang kepimpinan beliau termasuk pelanjutan kontrak MotoGP™ bersama DORNA Sports dan Kerajaan Malaysia, menjadikan MotoGP acara sukan antarabangsa paling lama dianjurkan dalam sejarah negara menjangkau 34 tahun.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Pasukan Sepang PETRONAS (PSRT), pasukan MotoGP pertama Malaysia yang berjaya mencipta nama di persada dunia apabila dinobatkan sebagai Pasukan Satelit Terbaik dan pelumba Franco Morbidelli meraih tempat kedua keseluruhan dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2020.
Selain itu, beliau juga memainkan peranan besar dalam pembangunan bakat sukan permotoran tempatan. Antara pencapaian membanggakan termasuk:
- Hafizh Syahrin, pelumba Malaysia pertama yang bersaing semusim penuh dalam kelas premier MotoGP (kategori 1000cc);
- Hakim Danish, rakyat Malaysia pertama memenangi Asia Talent Cup;
- Qabil Irfan, pelumba cilik negara yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menjuarai FIM MiniGP World Final (kategori 160cc).
Baca juga :