Red Bull secara rasmi mengumumkan penyertaan Robin Raikkonen, anak kepada Juara Dunia F1 2007, Kimi Raikkonen, ke dalam program pembangunan pemandu muda Red Bull.
Pelumba cilik berusia 11 tahun itu akan memulakan perjalanannya bersama pasukan itu pada 2027. Robin, yang mesra disapa sebagai “Ace”, dianggap antara prospek muda yang berpotensi besar dalam arena karting. Langkah ini membolehkan beliau mengikut jejak langkah nama-nama besar seperti Max Verstappen dan Sebastian Vettel yang lahir daripada akademi yang sama.

Kimi menyifatkan sokongan Red Bull sebagai platform terbaik untuk menggilap bakat anaknya. Bekas pemandu Ferrari itu berkata:
“Kami gembira Robin diberi peluang menyertai Red Bull Junior Team. Sokongan padu daripada Laurent Mekies dan pasukan Red Bull sangat meyakinkan sejak awal perbincangan. Mereka mempunyai program terbaik untuk memupuk bakat dan memberi pengalaman yang sesuai dengan kebolehan yang telah Robin tunjukkan dalam sukan karting sejauh ini.”
Selain itu, Pengetua Pasukan Red Bull, Laurent Mekies, memuji ketenangan serta kemahiran pemanduan Robin yang luar biasa untuk usianya. Menurut Mekies:
“Bakat Robin dalam karting memang tidak boleh dinafikan lagi. Dia bukan sahaja pantas dan pandai mengawal perlumbaan, malah mempunyai bakat semula jadi yang meletakkannya di barisan teratas berbanding pemandu sebayanya. Apa yang lebih mengagumkan adalah personalitinya. Robin sangat matang, tenang, dan tahu apa yang perlu diberi tumpuan apabila memandu.”
Matlamat utama Red Bull ialah untuk memastikan Robin dididik dengan konsisten agar tiada tekanan remeh diletakkan di atas bahunya. Red Bull berharap mereka dan keluarga Robin dapat saling bekerjasama bagi membantu perkembangan dan potensinya dalam dunia permotoran.


