Pasukan Monster Energy MotoGP Yamaha mendedahkan livery di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang semalam, dan Alex Rins bersama dengan Fabio Quartararo melengkapi barisan pelumba pasukan tersebut.
Alex Rins dan Fabio Quartararo tiba lebih awal di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang untuk sesi ujian Shakedown (Shakedown Test) sebelum ujian rasmi pra-musim yang kini berlangsung bermula 6 hingga 8 Februari 2024. Alex Rins menamatkan sesi hari ketiga ujian Shakedown dengan berada di kedudukan ke-8, mencatat masa 1:58.543.
Mengulas mengenai sesi ujian Shakedown,
“Ketika hari pertama kami mulakan ujian Shakedown, saya gembira dengan perasaan yang saya ada. (Dan ini perlu) kerana perasaan ini membantu saya untuk menguji banyak perkara dan sekali gus membantu saya untuk menjadi pantas dengan cepat. Jadi, saya gembira dengan cara (pasukan) kami bekerja, bagaimana kami menyelesaikan sesuatu, tentunya kami di jalan yang baik.”
“Saya lihat KTM membawa banyak ‘aero’, banyak revolusi. Sudah tentu kami menguji beberapa perkara ketika ujian Shakedown. ‘Wing’ yang berbeza, yang membantu dengan lebih lagi ketika mengambil selekoh, kurang ‘wheelie’ pada tayar. Bagi saya, cara Yamaha bekerja sekarang berbeza dengan ketika di Valencia”
“Kami ada lagi bahagian yang perlu diuji. Cuma saya rasa, kami masih memerlukan sedikit kelajuan, lebih stabiliti terutama pada elektronik, aero”
Turut menambah, jentera Yamaha M1 ini lebih kurang dengan jentera Suzuki yang pernah ditungganginya sebelum ini.
“Lebih kurang dari segi enjin, chasis. Saya berasa jentera ini lebih stabil ketika brek berbanding Suzuki. Jentera ini, chasis ini, membenarkan saya untuk mendapatkan prestasi yang lebih baik”

Alex Rins menambah keadaan kaki beliau yang cedera musim lalu – yang menyebabkan beliau tidak dapat untuk berlumba banyak pusingan kini berada dalam keadaan yang baik.
“Kaki saya kini lebih baik berbanding ketika di Valencia. Saya gembira dengan perkembangan yang positif ini. Tentunya kami berkerja keras ketika musim sejuk. Kaki saya masih mempunyai banyak bolt. Kami perlu menunggu sedikit lagi untuk membuang bolt-bolt ini.”