Semenjak pengumuman Marc Marquez sebagai pelumba baharu pasukan Ducati musim depan, tumpuan kini terarah kepada bintang Sepanyol ini, dengan ramai menjangkakan kejutan besar bakal dicipta olehnya di MotoGP 2025.
Kenyataan itu turut disokong oleh adiknya, Alex Marquez Alenta yang memberikan pandangan optimis mengenai perpindahan abangnya ke pasukan itu dan menjangkakan Marc bakal mencipta saingan sengit bersama rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia dalam perebutan juara dunia.
“Jika anda tanya saya hari ini, saya akan katakan Kejuaraan 2025 akan menjadi pertarungan antara Pecco dan abang saya. Tetapi anda harus tanya saya semula pada bulan Februari selepas sesi ujian. Bagi saya, Marc ketika ini sedang berada dalam posisi yang tepat untuk berjuang demi kejuaraan.
“Tetapi, seperti yang ditunjukkan dalam kalendar, kita akan mempunyai 44 perlumbaan tahun depan, dan sukan ini berisiko tinggi dan banyak perkara boleh berlaku. Dan kita juga tidak boleh lupakan pesaing di sebelahnya, yang mempunyai lebih banyak pengalaman dengan jentera tersebut. Apa yang Marc perlukan adalah konsistensi. Lihat sahaja prestasinya tahun ini dengan Martín.” katanya kepada SPEEDWEEK.com.
Marc Marquez yang bakal bergandingan bersama Pecco Bagnaia bagi pasukan Ducati pada musim depan mempunyai misi besar demi melunaskan impiannya untuk menggenggam trofi juara dunia yang telah diidamkannya sejak enam tahun lalu.
Keputusan Marc untuk menyertai Ducati adalah langkah besar yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk kembali ke tahap prestasi tertinggi. Ducati, yang kebelakangan ini kerap mendominasi perlumbaan dengan jentera yang kompetitif, memberikan platform yang ideal untuk Marc merealisasikan impiannya.
Sebelum ini, Marquez pernah berlumba untuk pasukan Honda dari tahun 2013 sehingga 2023 sebelum berpindah ke pasukan Gresini. Beliau juga merupakan antara salah seorang daripada empat pelumba yang memenangi dunia gelaran kejuaraan dalam tiga kategori berbeza, selepas Mike Hailwood, Phil Read dan Valentino Rossi, dan merupakan salah seorang pelumba motosikal paling berjaya sepanjang zaman, dengan lapan Kejohanan Dunia Grand Prix.
Bukan itu sahaja, Márquez juga merupakan pelumba Sepanyol ketiga selepas Àlex Crivillé dan Jorge Lorenzo memenangi gelaran kelas perdana, dan merupakan pelumba Sepanyol paling berjaya dalam MotoGP setakat ini dengan 62 kemenangan selepas merangkul gelaran juara Grand Prix Australia 2024.
Dengan reputasi dan pengalaman sebagai juara dunia enam kali, Marc diberikan kepercayaan dalam membawa perubahan yang besar dalam persaingan MotoGP tahun hadapan. Marc akan turun semula ke litar bagi sesi ujian yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) pada bulan Februari 2025.