Alex Marquez dan Franco Morbidelli dijangka bakal cipta kejutan

Perlumbaan pembuka tirai, MotoGP Thailand 2025 berpotensi menjadi medan kemenangan sulung bagi salah seorang pelumba yang mencuri tumpuan sejak sesi ujian pramusim awal tahun ini.

Alex Marquez dan Franco Morbidelli merupakan antara calon utama yang disenaraikan untuk menjuarai Grand Prix Thailand berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam ujian pramusim di Malaysia dan Thailand dengan kedua-duanya mempamerkan keselesaan dan keserasian ketika menunggang jentera Ducati GP24, yang turut digunakan mereka pada musim lalu.

Menurut Jack Appleyard dari Dorna, empat pelumba Ducati dijangka mendominasi perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram tidak lama lagi.

“Nama-nama yang akan kita bincangkan menjelang MotoGP Thailand pastinya tidak mengejutkan sesiapa,” katanya.

“Pelumba utama yang bakal mencuri tumpuan adalah Alex Marquez dengan GP24, Franco Morbidelli dengan GP24, serta Marc Marquez dan Francesco Bagnaia dengan GP25.

Memetik laporan Crash.Net, Ducati turut dijangka bakal mengulangi dominasi mereka di Thailand seperti musim lalu dengan kemungkinan besar mendominasi kedudukan kelompok sepuluh terbaik.

“Pada Sprint Race tahun lalu, mereka menguasai lapan tempat teratas,” kata Appleyard.

“KTM terpaut 13.5 saat, Yamaha 14.5 saat, Honda 18.5 saat, dan Aprilia 19.5 saat di belakang Ducati dalam perlumbaan pendek 13 pusingan itu! Mereka juga menempatkan tujuh jentera dalam kelompok 10 terbaik di sesi latihan serta menguasai dua barisan hadapan grid.

Menurutnya lagi, litar Buriram sangat sesuai dengan kelebihan Ducati, terutama dari segi brek keras dan pecutan keluar dari selekoh.

“Di litar ini, Ducati berada dalam kelas tersendiri. Anda tidak akan terkejut melihat A. Marquez, M. Marquez, Morbidelli, dan Bagnaia dalam kelompok lima teratas. Malah, sangat mengejutkan jika mereka tidak menguasai empat tempat teratas.

Marc Marquez dan Bagnaia dijangka bertarung merebut kejuaraan musim ini. Namun, tumpuan di Thailand mungkin tertumpu kepada Alex Marquez, yang masih memburu kemenangan pertamanya di kelas premier.

Sementara itu, Morbidelli, yang kali terakhir menang pada tahun 2020, juga mahu membuktikan dirinya masih mampu bersaing di barisan hadapan.

Grand Prix Thailand secara rasmi akan membuka tirai musim 2025 pada 28 Februari hingga 2 Mac ini di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related