HRC uji jentera baharu Honda di Buriram

Honda Racing Corporation (HRC) kini memulakan era baharu bersama pengarah teknikal mereka, Romano Albesiano, apabila jentera RC213V bagi musim 2025 secara rasmi memacu di trek dalam sesi ujian persendirian selama dua hari di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

Sesi ujian ini turut menandakan debut Romano Albesiano bersama Honda, selepas beliau terlepas sesi ujian di Barcelona tahun lalu akibat komitmen profesionalnya bersama pasukan Aprilia. Pengarah teknikal dari Itali ini, yang pernah membawa Aprilia ke puncak kejayaan, kini memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula Honda ke era kegemilangan.

Bagi Aleix Espargaro pula, yang mengakhiri kariernya sebagai pelumba sepenuh masa pada penghujung tahun lalu, musim 2025 menjadi titik permulaan baharu dalam kerjaya beliau dengan peranan dan tanggungjawab yang berbeza. Espargaro dilaporkan bergandingan dengan Takaaki Nakagami di Buriram bagi mengendalikan sesi ujian ini.

Tidak ketinggalan, Espargaro turut memberikan sekilas pandangan kepada peminat menerusi hantaran di Instagram, memaparkan dirinya dalam pakaian rasmi Honda bersama Albesiano, lengkap dengan warna ikonik jenama tersebut.

Sesi ujian ini merupakan sebahagian daripada persiapan rapi Honda menjelang musim 2025. Mereka turut mendapat kelebihan ujian tambahan berikutan status konsesi mereka dalam sistem MotoGP yang telah diperbaharui.

Honda dijangka kembali ke trek untuk Sepang Shakedown Test dari 31 Januari hingga 2 Februari, yang akan diikuti dengan Official Sepang Test pada 5 Februari.

Ujian awal musim ini juga sejajar dengan siri Team Presentations bagi musim 2025. Pasukan kilang Honda dijadualkan memperkenalkan livery baharu mereka pada 1 Februari, manakala pasukan LCR Honda akan mendedahkan jentera mereka seminggu kemudian pada 8 Februari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related