Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Akmal Johari sertai pasukan LCR Honda sebagai mekanik MotoGP 2025

Bekas pelumba One Make Race, Akmal Johari, mencatat sejarah tersendiri apabila disahkan bakal menyertai Pasukan LCR Honda Team sebagai mekanik bagi musim MotoGP 2025.

Menurut Akmal, beliau sama sekali tidak menyangka akan diberi peluang keemasan untuk menyertai pasukan Honda bagi musim MotoGP 2025.

“Pada sekitar bulan Oktober tahun lalu, seingat saya sebelum bermulanya Grand Prix Malaysia. Saya dihubungi Pengurus Pasukan Boon Siew Honda, Zulhelmi Ahmad mengenai peluang untuk menyertai pasukan MotoGP sebagai mekanik mereka bermula pada tahun 2025.

“Secara jujurnya saya amat terkejut dan dalam masa yang sama cukup gembira diberikan peluang ini. Saya berjumpa dengan pasukan HRC untuk berbincang mengenai perkara tersebut ketika di GP Malaysia dan saya selesai menandatangani kontrak sejurus selepas pusingan akhir Kejohanan Road Racing Asia (ARRC).

“Selepas itu saya diterbangkan ke Saitama, Jepun untuk sesi schooling selama dua minggu di HRC memandangkan saya tiada sebarang pengalaman dalam MotoGP,” jelasnya ketika dihubungi Tarmac Sports semalam.

Akmal memulakan kariernya sebagai pelumba dalam kejohanan Cup Prix, yang menjadi platform awal untuknya mengenali dunia perlumbaan motosikal. Namun, minat mendalam terhadap aspek teknikal motosikal mengubah haluan kariernya ke bidang mekanik.

Akmal melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bagan Datuk dalam Sijil Teknologi Penyelanggaraan Motosikal Berkuasa Tinggi dari tahun 2018 hingga 2020. Selepas itu beliau mencari pengalaman dalam menyelanggara motosikal berkuasa tinggi bersama Madani Bikes (kini Ducati KL) selama 5 tahun sebagai mekanik.

Bermula dari situ secara sambilan beliau turun membantu pasukan yang beraksi dalam kejohanan Cub Prix antaranya KC Racing sebelum berjaya mencari kenalan bagi mengembangkan kariernya dalam bidang yang sama.

Melihat potensi besar Akmal, Redzuan, seorang ketua mekanik berpengaruh di Boon Siew Honda Racing, mengambilnya sebagai anak didik. Di bawah bimbingan Redzuan, Akmal berjaya mengasah kemahirannya sehingga menjadi seorang mekanik yang serba boleh dan dihormati dalam industri.

Akmal tidak hanya terhad kepada perlumbaan di peringkat tempatan. Beliau turut menyumbang bakti di kejohanan antarabangsa, termasuk Suzuka 8 Hours dan acara endurance motosikal yang diiktiraf sebagai salah satu acara paling mencabar di dunia.

Sementara itu, Akmal dikhabarkan secara rasmi bakal menggalaskan tugas selaku mekanik kepada pelumba dari Thailand, Somkiat Chantra yang membuat kemunculan pertamanya di pentas MotoGP bersama pasukan LCR pada musim ini.

Lebih membanggakan, Akmal merupakan mekanik pertama yang diikat kontrak oleh pengeluar jenama motosikal ternama dunia Honda Racing Corporation (HRC) bermula bulan Disember 2024 sejurus tamat perlumbaan ARRC di Buriram yang lalu. Akmal kini sekali lagi ke Jepun bagi menghadiri sesi schooling secara rasmi bersama seluruh pasukan LCR Honda.

Dalam pada itu, berita ini turut mengukuhkan kedudukan Akmal sebagai salah seorang mekanik negara yang berjaya melangkah ke pentas antarabangsa. Akmal mengikut jejak langkah dua lagi mekanik hebat tanah air, Muhammad Firdaus Mokhadzir, yang telah berkhidmat dengan pasukan MT MSI Helmet sejak tahun 2023, dan Habib Fuad, yang kini bersama pasukan Trackhouse Racing.


Ini perjalanan ringkas Akmal sebelum menjadi mekanik MotoGP:

2016 hingga 2017
Pelumba One Make Race

2018 hingga 2020
– Menyambung pengajian di di Kolej Komuniti Bagan Datuk dalam Sijil Teknologi Penyelanggaraan Motosikal Berkuasa Tinggi

2020
– Bermula kerjaya dalam bidang mekanik bersama Madani Bikes

2023 hingga 2024
– Dilamar menjadi mekanik kepada pelumba, Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing)

2024
– Sekitar bulan Oktober, mendapat tawaran sebagai mekanik MotoGP bersama pasukan LCR Honda. Seterusnya menandatangani kontrak bersama Honda Racing Corporation (HRC) untuk bekerja dengan pasukan LCR Honda bermula Disember 2024 menjelang musim baru MotoGP 2025,

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related