03 Mac 2024, Jasin, Melaka – Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Jasin, Melaka berakhir pada petang tadi. Saingan perlumbaan akhir CP150 menyaksikan kejayaan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Akid Aziz yang mengatasi cabaran litar basah dengan mudah sekaligus meraih kemenangan pertama bagi musim ini.
Berikutan cuaca hujan tadi, sesi “Super-Pole” terpaksa dibatalkan dan pelumba-pelumba CP150 ditempatkan di grid berdasarkan masa lap daripada sesi kelayakan. Dengan itu, Akid Aziz bermula grid pertama diikuti oleh pelumba Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem di grid kedua dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin di grid ketiga.

Bermulanya perlumbaan, Akid meluru ke hadapan dan memimpin kumpulan pelumba tersebut.Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin mengambil kedudukan kedua diikuti Azroy di P3. Pada 8 lap terakhir, Azroy berjaya memintas Nazirul manakala Akid terus mendominasi perlumbaan.
Memasuki 4 lap terakhir, Nazirul mengalami masalah jentera dan terpaksa menamatkan perlumbaannya. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran pada ketika itu mengambil kedudukan di P3. Akid meneruskan perlumbaan secara konsisten dan tampak selesa tanpa tekanan. Beliau meneruskan perlumbaan tersebut sekaligus menamatkan lap terakhir di dengan catatan masa17:17.228s.
Menurut Akid:
“Dengan keputusan hari ini, saya dapat kekalkan momentum dari tahun lepas. Saya tidak menjangka dapat menang pada hari ini kerana saya hanya sasarkan kedudukan lima keatas. Lebih-lebih lagi, dengan litar basah dimana kesilapan agak senang berlaku. Walau bagaimanapun, saya agak gembira dengan pencapaian hari ini. Untuk perlumbaan akan datang nanti, saya dan pasukan saya akan terus membuat penambahbaikan untuk keputusan yang konsisten.”
Azroy mengambil tempat kedua dengan catatan masa 17:20.733s. Di tempat ketiga adalah Afif dengan catatan masa 17:21.083s. Kasma pula sekali lagi kecewa ditimpa masalah jentera, tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Sementara itu, di kategori CP125 menyaksikan kejutan dilakar pelumba Honda KC Racing, Irfan Haykal Amidi yang muncul pemenang Pusingan 1 selepas memintas Juara Keseluruhan musim lalu, Khairi Asyraf Mahmood dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team pada perlumbaan akhir hari ini.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan Irfan di petak grid ketujuh apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 52.110s. Arash Tsunami Kamarudin yang mencatat 51.716s berada di petak grid pertama, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Syamil Amsyar Iffende yang mencatat 51.732s di petak grid kedua manakala Khairi dengan catatan 51.749s untuk berada di petak grid ketiga.

Perlumbaan akhir bermula dengan Arash mendahului perlumbaan tersebut namun beliau terjatuh seawal lap kedua. Ini memberikan peluang kepada pelumba-pelumba lain untuk memintas dengan Khairi berada di P1. Syamil yang pada ketika itu di P2 cuba memintas Khairi namun tidak berhasil.
Namun kedudukan Khairi juga tidak kekal lama apabila pada 4 lap terakhir, Irfan memintas Syamil sebelum bersaing dengan Khairi. Setelah memintas Khairi, Irfan terus memecut untuk memastikan jaraknya dengan Khairi dan berjaya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 13:58.371s.
Irfan berkata:
“Pada perlumbaaan tadi, saya bermula agak lambat sikit. Jentera saya jugamemberikan sedikitmasalah tetapi saya cuba juga, saya tidak berputus asa. Bagi saya, walaupun litar basah agak merbahaya, saya yakin dengan jentera dan kelajuan saya. Saya terus cuba untuk kawal jentera dan terus kejar untuk ke depan dan akhirnya saya berjaya.”
Khairi akur di tempat kedua dengan catatan masa 13:58.755s. Syamil pula mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 14:00.595s.
Manakala kategori Wira KBS turut menyajikan aksi yang cukup mendebarkan dengan tumpuan pada Akif Abdullah yang berjaya mengesahkan gelaran di perlumbaan akhir sekaligus menghadirkan kemenangan kedua buat pasukannya, Honda KC Racing.
Akif memulakan perlumbaan pada petang ini di petak grid kedua selepas menamatkan sesi kelayakan semalam di tempat kedua dengan catatan masa terpantas 53.420s di belakang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Farres Putra Md Fadhil yang mencatatkan masa terpantas 53.182s untuk bermula di petak grid pertama. Rakan sepasukan Akif, Adi Putra Anahar bermula di petak grid ketiga.

Sejurus perlumbaan bermula, Akif memintas Farres dan mendahului perlumbaan. Tidak lama kemudian, pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam turut memintas Farres dan mengikut rapat di belakang Akif. Perlumbaan semakin sengit apabila Adib dan Farres bersaing untuk memintas Akif.
Pada pertengahan perlumbaan Akif, Adib dan Farres kelihatan agak selesa dan memastikan kedudukan P2 and P3 Mereka berjaya membuka jurang dan meninggalkan pelumba-pelumba lain, namun babak sengit antara tiga pelumba di hadapan diteruskan. Didapati beberapa kali Adib memintas Akif, namun Akif yang dahagakan kemenangan itu menidakkan usaha Adib dengan pantas dan kembali mendominasi perlumbaan. Akif mengekalkan momentum sehingga kegarisan penamat dan memenangi perlumbaan dengan catatan masa 11:26.101s.
Menurut Akif:
“Saya tak yakin pun saya boleh menang kerana ini adalah kali pertama saya berlumba dalam cuaca hujan dan saya dapat menang. Ini adalah kenangan paling manis bagi saya buat kali pertama membawa nama pasukan dalam kategori Wira KBS dan bawa balik podium.”
Tempat kedua jatuh ke tangan Adib 11:26.333s. Farres mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11:26.648s.