Ai Ogura sedia tunjuk belang bagi aksi sulung MotoGP 2025

Juara Dunia Moto2 2024, Ai Ogura, kini dalam persiapan rapi untuk mempamerkan aksi terbaik menjelang debut sulungnya di MotoGP.

Pelumba berbakat dari Jepun itu melahirkan keterujaannya untuk memulakan musim baharu bersama pasukan Trackhouse Racing, yang baru sahaja melancarkan barisan pelumbanya pada 15 Januari lalu menerusi satu ucapan.

“Pertama sekali,saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua di Trackhouse. Saya amat gembira untuk memulakan musim baharu tidak lama lagi kerana saya amat teruja untuk memulakan tahun ini.

“Saya pasti musim ini tidak mudah dan bakal menjadi satu cabaran besar untuk saya tetapi saya tidak risau kerana saya mempunyai pasukan saya yang sentiasa menyokong saya. Suasana dalam pasukan saya juga amat bagus.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan sesi ujian pertama saya di Sepang tidak lama lagi dengan jentera baru saya yang amat cantik. Saya tidak sabar untuk melihat kemampuan jentera baru saya ini dan menyaksikan kebolehannya tidak lama lagi.

Dalam pada itu Pengasas Trackhouse Racing , Justin Marks turut mengulas mengenai kelibat pelumba dari Jepun itu dalam pasukannya dengan meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kejutan musim ini.

“Ketika kami menandatangani Ai Ogura, dia belum menjadi Juara Dunia Moto2. Tetapi selepas pengumuman itu, dia terus mendominasi dan menjuarai kejuaraan tersebut. Ini membuktikan kemampuan luar biasa yang dimilikinya,” katanya ketika majlis pelancaran tersebut.

Sebelum ini, Justin Marks ada membuat pengumuman pada Disember 2023 lalu mengenai penglibatan Trackhouse ke pentas MotoGP untuk memperluaskan pengaruh dalam dunia sukan permotoran global, berasaskan kejayaan mereka dalam siri NASCAR sebelum melakukan debut mereka di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia enam minggu kemudian.

Kini memasuki tahun kedua mereka dalam perlumbaan dua roda, pasukan ini memperkukuhkan barisan pelumba mereka dengan kombinasi pengalaman dan bakat muda. Raul Fernandez, pelumba berusia 24 tahun yang berpengalaman dengan jentera RS-GP Aprilia, membawa keyakinan dan kepakaran teknikal setelah melalui musim pembelajaran pada tahun 2024.

Tumpuan utama musim ini ialah pelumba Jepun, Ai Ogura, yang menyertai pasukan dengan reputasi gemilang sebagai Juara Dunia Moto2 2024. Ogura, yang memulakan kariernya di Asia Talent Cup pada usia 14 tahun, telah menunjukkan bakat luar biasa sepanjang perjalanan kariernya, dari Moto3 hingga Moto2. Dengan membawa nombor ikonik #79, pelumba berusia 24 tahun ini adalah bintang muda yang dijangka membawa momentum ke arah kejayaan.

Trackhouse MotoGP bukan hanya tentang teknologi dan inovasi, tetapi juga visi membangunkan bakat muda untuk masa depan. Dengan Raul Fernandez yang membawa pengalaman dan Ai Ogura sebagai simbol kebangkitan bakat Asia, pasukan ini bercita-cita besar untuk menjadi pencabar utama di pentas MotoGP.

Sebagai pendatang baru, Trackhouse MotoGP terus memerhatikan potensi bakat besar mereka untuk mencipta sejarah dalam aksi yang bakal membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 28 Februari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related