Ai Ogura cipta sejarah, pelumba Jepun pertama raih podium

Rekod baharu berjaya dilakar pelumba muda sensasi Jepun, Ai Ogura apabila berjaya menghadiahkan podium buat Trackhouse MotoGP Team, sekali gus muncul pelumba Jepun pertama dalam tempoh 14 tahun yang berjaya menamatkan perlumbaan MotoGP di kedudukan podium.

Kejayaan tersebut turut melengkapkan penguasaan penuh Aprilia apabila kedudukan satu hingga tiga menjadi milik jentera pengeluar Itali itu. Marco Bezzecchi berjaya memperbaiki pencapaiannya selepas perlumbaan Sprint pada Sabtu dengan menamatkan aksi utama di tempat kedua.

Dalam masa sama, Jorge Martín terus membuktikan dirinya berada di tahap terbaik apabila berjaya mendominasi perlumbaan dan mengekalkan kedudukan di hadapan sehingga garisan penamat. Kemenangan tersebut menyaksikan Martin menyapu bersih aksi hujung minggu di Le Mans selepas turut menjuarai perlumbaan Sprint sebelum ini.

Kebangkitan Martin selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini jelas membuktikan mentaliti juara dimilikinya. Pelumba Sepanyol itu berjaya bangkit daripada episod sukar dan kini kembali memberi amaran awal kepada pencabar lain dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Lebih manis buat Aprilia, kejayaan Martin dan Bezzecchi bersama podium Ogura yang menggunakan jentera Aprilia menerusi pasukan satelit Trackhouse sekali gus memperkukuhkan reputasi pengeluar itu sebagai kuasa baharu MotoGP ketika ini.

Prestasi konsisten ketiga-tiga pelumba tersebut turut memberi kelebihan besar kepada Aprilia dalam saingan pengeluar serta pasukan musim ini, sekali gus memberi tekanan kepada Ducati Lenovo Team yang sebelum ini mendominasi kejuaraan.

Kejayaan diraih Ai Ogura itu turut menamatkan penantian panjang Jepun untuk melihat wakil mereka kembali berada di podium kelas premier, selepas kali terakhir pencapaian tersebut dilakar Katsuyuki Nakasuga pada GP Valencia 2012 bersama Yamaha.

Selain itu, kemenangan Martin di Le Mans juga mengukuhkan lagi status Aprilia sebagai pencabar utama musim ini apabila jentera RS-GP terus menunjukkan peningkatan ketara dari aspek kelajuan dan konsistensi berbanding musim-musim sebelumnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related