KUALA LUMPUR, 26 Februari 2026 – AEON Credit Service (M) Berhad (“AEON Credit” atau “Kumpulan”) terus memperkukuhkan komitmennya dalam pembangunan bakat muda berprestasi tinggi apabila diumumkan sebagai penaja utama pasukan MSi Racing Team bagi menghadapi saingan MotoGP dalam kelas Moto3 musim 2026.
Pelaburan strategik selama setahun ini menandakan langkah progresif AEON Credit dalam menyokong ekosistem sukan permotoran negara, khususnya sebagai pemangkin utama dalam memacu potensi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, yang bakal meneruskan cabaran di pentas dunia.
Inisiatif berimpak tinggi ini merupakan kesinambungan kepada sokongan berterusan AEON Credit terhadap pelumba berusia 19 tahun itu, selepas merealisasikan penyertaan wildcard Moto3™ di GP Malaysia tahun lalu. Keputusan untuk memeterai kerjasama strategik ini dibuat susulan prestasi cemerlang dan konsisten yang dipamerkan Hakim Danish sepanjang musim 2025, khususnya dalam dua kejuaraan utama Eropah iaitu FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup.
Hasil pencapaian tersebut, pelumba yang lahir daripada program pembangunan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu bukan sahaja berjaya menaiki podium dalam saingan JuniorGP, malah mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan. Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik Asia di pentas dunia.
Menerusi kerjasama ini, pasukan akan beroperasi di bawah penjenamaan baharu AEON Credit–MT–MSi, yang dijangka menyediakan platform sokongan menyeluruh bagi memastikan kesinambungan prestasi serta perkembangan kerjaya Hakim Danish di peringkat tertinggi.
Strategi Penjenamaan dan Pembangunan Jangka Panjang
Inisiatif ini turut menyokong objektif penjenamaan dan pemasaran AEON Credit yang lebih luas dengan meningkatkan kehadiran jenama di platform sukan permotoran antarabangsa. Ia sekali gus memperkukuh penglibatan dengan pelanggan dan komuniti, di samping memperlihatkan komitmen Kumpulan terhadap pembangunan bakat belia secara mampan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda, menegaskan bahawa kerjasama ini mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan jenama serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia.
“Kerjasama ini merupakan satu pelaburan strategik yang berlandaskan kepercayaan kami terhadap nilai disiplin, ketekunan dan peluang yang ditawarkan oleh sukan permotoran sebagai platform pembinaan generasi masa hadapan.
Sukan permotoran selari dengan nilai teras AEON Credit yang menekankan ketabahan, semangat juang dan keunggulan. Kami komited membina ekosistem mampan bagi melahirkan juara dan ikon sukan negara pada masa hadapan.
Kesungguhan serta kematangan prestasi yang ditunjukkan oleh Hakim Danish sepanjang musim 2025, khususnya ketika aksi wildcard di GP Malaysia, telah mengukuhkan keyakinan kami. Melalui kerjasama AEON Credit–MT–MSi, kami berhasrat meningkatkan kesedaran jenama dalam komuniti sukan permotoran sambil menyediakan persekitaran stabil agar bakat muda seperti beliau terus berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.
Sebagai rekod, AEON Credit dan ZK Racing sebelum ini telah memeterai perkongsian strategik bagi pembangunan sukan permotoran Malaysia menerusi Blueprint Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV), iaitu pelan pembangunan bakat dua roda yang dirangka secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC.
Dalam perkembangan sama, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan kehadiran AEON Credit sebagai penaja utama tepat pada masanya.
“Komitmen dan pelaburan daripada AEON Credit memberi impak besar kepada kesinambungan program pembangunan yang kami rangka. Tanpa sokongan kukuh daripada rakan korporat strategik seperti AEON Credit, adalah sukar untuk meletakkan bakat muda negara di pentas dunia,” katanya.
Dengan kerjasama strategik ini, AEON Credit bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan jenamanya di arena antarabangsa, malah memainkan peranan signifikan dalam mencorakkan masa depan sukan permotoran Malaysia melalui pembangunan bakat yang tersusun dan berdaya saing.


